Pusat Program Permulaan Elit lahir ramai atlet dari pedalaman Sarawak

Nuzuluddin Abdul Razak
November 30, 2022 14:00 MYT
Jelas Abdul Karim Sarawak berhasrat menjadi kuasa besar sukan negara dengan memperkasakan Strategi Pelan Induk Sukan Prestasi Tinggi tahun 2030 (SMPHPS-2030). - Astro AWANI
KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, akan menubuhkan lebih banyak Pusat Program Permulaan Elit (PEP) dengan program yang lebih agresif dan berfokus sebagai persediaan kepada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun 2024.
Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata PEP akan menumpukan kepada usaha untuk melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti dengan memaksimumkan potensi dan program latihan strategik di bawah jurulatih yang berpengalaman.
Jelasnya PEP ini akan melahirkan lebih ramai bakat sukan yang tersembunyi di seluruh negeri termasuk kawasan pedalaman seperti Kapit, Baram, Belaga, Betong,Daro, Lubok Antu, dan Gedong.
“Kementerian ini juga akan menumpukan kepada kebajikan atlet di mana mereka boleh lagi menyambung pengajian di universiti tempatan atau luar negara tanpa mengganggu program latihan sukan yang sedang dijalani sekaligus menjamin masa depan atlet berkenaan.
“Setakat ini 69 bekas atlit kebangsaan Sarawak telah diterima untuk berkhidmat dalam program latihan bersama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan negeri lain dalam negara, 26 bekas atlit telah bekerja dengan syarikat tempatan dan seramai 180 juga telah dibantu oleh kementerian untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan,” katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan DUN Sarawak di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Abdul Karim menambah, pihak Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan pihak SSC akan menyahut cabaran untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa besar sukan dalam negara dengan memperkasakan Strategi Pelan Induk Sukan Prestasi Tinggi tahun 2030 (SMPHPS-2030).
“Strategi ini juga adalah sejajar dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, dan bertindak sebagai pemangkin untuk memacu Sukan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi dan mencapai visi kami secara bersama,” ujarnya lanjut.
Untuk rekod, kontinjen Sarawak pada SUKMA Kuala Lumpur 2022 telah berjaya menempatkan negeri itu pada kedudukan ke empat keseluruhan dengan 32 pingat emas, 43 pingat perak, dan 52 pingat gangsa daripada 564 atlet yang terlibat.
#Pusat Program Permulaan Elit PEP #Sukma 2024 #Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah #Sarawak
;