Pusat media Sukma ke-18 dibuka
Bernama
Julai 18, 2016 14:04 MYT
Julai 18, 2016 14:04 MYT
Pusat Media Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 dibuka di Pusat Akuatik, Jalan Stadium di sini hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Sarawak, Charles Igat Assom berkata ia mula beroperasi seawal pukul 7.30 pagi ini dan ditutup selepas berakhir majlis penutupan temasya pada hujung bulan ini.
Beliau berkata sehingga kini pihak sekretariat telah mengeluarkan lebih 1,000 kad akreditasi kepada petugas media yang akan membuat liputan.
Katanya selain Kuching, pusat media di bandar raya Miri dan Bintulu, dua lagi venue Sukma ke-18 juga sudah mula dibuka hari ini.
"Petugas media boleh menggunakan Wi-Fi, komputer dan lain-lain kemudahan yang disediakan di pusat-pusat media," katanya kepada kira-kira 50 wakil media pada sesi taklimat di Pusat Media di sini.
Miri akan menjadi tuan rumah kepada acara sukan karate, sepak takraw dan pelayaran, manakala Sibu bagi acara bola tampar dan badminton.
Igat berkata selain persidangan media dari semasa ke semasa, setiap hari satu persidangan media akan diadakan pada pukul 7.30 malam di Pusat Media untuk memberikan maklumat terkini perkembangan semasa Sukma Ke-18.
Majlis pagi ini turut menyaksikan taklimat disampaikan oleh Pengurus Projek WSL Sdn Bhd, Johanis Johari yang bertanggungjawab membangunkan perisian dan pengurusan sistem acara untuk Sukma Ke-18.
Menurutnya orang ramai boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan Sukma Ke-18 dengan melayari laman web sukmasarawak2016.my.
Raptai penuh majlis perasmian di Stadium Sarawak dijadualkan Khamis ini dengan majlis perasmian oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada Sabtu.