Pusaka Hanafi Malaysia bakal berentap pada pentas dunia di Korea Selatan

Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 22, 2019 07:28 MYT
Sempena sambutan kemerdekaan tahun ini, Pusaka Hanafi bakal mempersembahkan persembahan istimewa pada Chungju WMC 2019. Astro AWANI
Sempena sambutan kemerdekaan tahun ini, Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia atau lebih dikenali sebagai Pusaka Hanafi bakal mempersembahkan persembahan istimewa pada Chungju World Martial Arts Masterships (WMC) 2019.
Malah Pusaka Hanafi juga bakal berentap bersama 100 negara lain dalam kejohanan yang dianjurkan di Bandar Chungju, Korea Selatan.
Seramai 20 atlet yang akan mewakili negara mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang dipertandingkan di pentas antarabangsa itu.
Menurut Ketua Jurulatih Pusaka Hanafi, Arifabillah Idris, dengan latihan intensif selama dua bulan ini, pastinya pasukannya kini bersedia berentap bersama lebih 100 buah negara yang lain.
“Pastinya kami mengharapkan kemenangan dalam semua kategori dan dapat mengharumkan nama negara.
“Apa yang pasti saingan di sana nanti amat sengit. Jika penyertaan tahun lepas, lebih 87 negara yang sertai, tahun ini lebih 100 negara sertai kejohanan seni mempertahankan diri ini.
“Seni mempertahankan diri seperti silat ini juga adalah dari rumpun Asia Tenggara, jadi pastinya saingan sengit adalah dari negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Apa yang lebih istimewa, Malaysia bakal menyampaikan sebuah pembentangan akademik pada Persidangan Akademik Antarabangsa WMC ke-5 bertajuk Silat Cekak Pusaka Hanafi: Warisan Kebijaksanaan dalam bahasa Melayu pada 29 Ogos ini.
Bagi Presiden Silat Cekak Pusaka Hanafi, Dr Md Radzi Hanafi, peluang itu bagi mempromosikan kepada masyarakat antarabangsa tentang keistimewaan seni silat Melayu iaitu Silat Cekak Pusaka Hanafi.
“Ini adalah pertama kali saya membentangkan pada peringkat antarabangsa. Saya juga ingin menggunakan bahasa kebangsaan sebagai simbolik negara Malaysia.
“Ada juga terma yang tidak boleh diubah dalam bahasa Melayu, jadi kami akan tetap menggunakan bahasa kebangsaan ini.
“Ini adalah bagi memperkenalkan silat kita dan bahasa kita sendiri dalam konsep silat Melayu,” jelasnya.
Salah seorang atlet yang akan menyertai kejohanan itu adalah selebriti popular, Vanidah Imran yang ternyata teruja untuk sertainya buat pertama kali.
“Saya tidak dapat nak gambarkan perasaan itu ketika ini sebab kita tidak sampai lagi di sana.. Tapi apa yang pasti saya pernah menyertai demonstrasi seumpamnya dan pada waktu itu saya dapat merasakan semuanya.
“Rasa tidak tentu arah ketika melakukan demonstrasi itu, apatah lagi untuk kejohanan i peringkat dunia ini bersama berpuluh negara lain.
“Saya memang berdebar dan apa yang pasti kami akan berikan yang terbaik,” katanya.
Antara kategori yang disertai atlet Malaysia termasuk Perseorangan Tangan Kosong (Lelaki), Berpasangan Tangan Kosong (Perempuan), Berseorangan Bersenjata (Lelaki), Berpasangan Bersenjata (Perempuan) dan kategori berkumpulan.
#Arifabillah Idris #Chungju #Dr Md Radzi Hanafi #Korea Selatan #pusaka hanafi #silat #World Martial Arts Masterships
;