Purple League: Candra Wijaya International ungguli saingan Kumpulan B
Astro Arena
Oktober 2, 2022 07:30 MYT
Oktober 2, 2022 07:30 MYT
CANDRA Wijaya International mengungguli Kumpulan B dengan membenam Singapore Badminton Team 5-0 pada perlawanan pembukaan Purple League di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Ahad.
Dalam perlawanan pertama perseorangan lelaki, Krishna Adi Nugraha mudah mengetepikan saingan pemain muda Singapura, Marcus Lau dengan aksi straight set 11-6, 11-1, 11-7.
Momentum itu dikekalkan oleh perseorangan wanita dari pasukan Indonesia, Ruselli Hartawan yang berjaya menang tipis ke atas Megan Lee, juga dalam aksi sengit lima set untuk memberikan mata kedua buat pasukan Candra Wijaya.
Pasangan beregu lelaki, Gabriel Christopher Wintan-Galuh Dwi Putra memberikan mata ketiga dan kemenangan kepada pasukan mereka, dengan membenam Johann Prajogo dan Nge Joo Jie, juga dalam straight set 11-5, 11-10, 11-9.
Kemudian, beregu campuran Candra Wijaya International, Hafiz Faizal-Serena Kani, melebarkan kemenangan dalam straight set 11-3, 11-4, 11-4 ke atas Donovan Willard-Ho Lo Ee.
Bekas pemain nombor tiga dunia, Tommy Sugiarto, melengkapkan kemenangan bersih pasukannya dengan keputusan 11-4, 11-8, 11-2 dalam masa 12 minit sahaja. - Stadium Astro