Pulisic lengkapkan perpindahan ke AC Milan
Sinar Harian
Julai 14, 2023 10:10 MYT
Julai 14, 2023 10:10 MYT
PENYERANG Amerika Syarikat (AS), Christian Pulisic melengkapkan perpindahan dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea ke kelab Serie A Itali, AC Milan.
Pulisic yang berusia 24 tahun, telah menandatangani perjanjian empat tahun dengan kelab Serie A itu, dengan pilihan setahun lagi.
Sebagai rekod, dia menjaringkan 26 gol dalam 145 perlawanan sepanjang menyarung jersi Chelsea, selain bermain dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2021, ketika menyingkirkan Manchester City.
Bagaimanapun Pulisic menjadi lebihan kepada keperluan di Stamford Bridge, menjaringkan hanya sekali dalam musim terakhirnya.
"Ia adalah musim yang cukup sukar dalam tempoh beberapa musim lalu sepanjang bersama Chelsea.
"Atas sebab apa pun saya tidak mendapat peluang seperti yang dimahukan seseorang pemain bola sepak.
"Bagi saya ia adalah peluang yang baik untuk berundur, mendapatkan permulaan baharu dan bermain untuk pasukan besar seperti ini," katanya pada sidang akhbar.
Chelsea sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengesahkan perpindahan itu, dengan berkata: "Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Christian dan berterima kasih kepadanya atas segala sumbangannya sepanjang berada di kelab ini."
Christian menyertai Chelsea dari Borussia Dortmund dalam perpindahan pada 2019 yang menjadikannya pemain termahal dari Amerika Utara.
Pemain kelahiran Pennsylvania itu juga telah melakukan sebanyak 60 penampilan bersama Amerika Syarikat.
Perpindahannya ke Serie A menyaksikan dia akan menyertai bekas rakan sepasukannya di Chelsea, Ruben Loftus-Cheek, yang juga menyertai Milan pada musim panas ini.
Chelsea telah berpisah dengan beberapa pemain utama pada musim panas ini termasuk Kai Havertz yang berpindah ke Arsenal, Mateo Kovacic (Manchester City) dan Mason Mount (Manchester United).
Cesar Azpilicueta pula menyertai Atletico Madrid secara percuma, manakala penyingkiran lain menyaksikan Kalidou Koulibaly, Edouard Mendy dan N'Golo berpindah ke Liga Pro Saudi, apabila masing-masing menyertai Al-Hilal, Al-Ahli dan Al-Ittihad. - Sinar Harian