Pulau Pinang perkenal jersi baharu musim 2017/2018
Bernama
Januari 13, 2017 07:14 MYT
Januari 13, 2017 07:14 MYT
Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) pada Jumaat memperkenalkan jersi baharu pasukan berkenaan bagi menghadapi Liga Malaysia 2017 selepas menjalinkan kerjasama dengan Legea.
Kerjasama julung kali itu merangkumi tiga pasukan di bawah naungan FAP melibatkan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Super.
Diinspirasikan dengan warna bendera Pulau Pinang, pasukan berkenaan akan memakai jersi berwarna biru untuk aksi di tempat sendiri, manakala jersi putih di gelanggang lawan.
Majlis pelancaran jersi tersebut dirasmikan Ketua Menteri Lim Guan Eng, sambil disaksikan ratusan penyokong Pulau Pinang di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon, Presiden FAP Datuk Nazir Ariff Munshi Ariff, pengurus pasukan Pulau Pinang Zairil Khir Johari dan ketua jurulatih Pulau Pinang Ashley Westwood.
Sementara itu, Nazir Ariff yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran jersi berkenaan, yakin FAP dan Legea iaitu sebuah syarikat pakaian sukan, dapat bekerjasama dengan baik. -- Bernama