Pulau Pinang beri insentif RM10,000 kepada atlet Sukan Paralimpik Tokyo 2020

Bernama
Ogos 13, 2021 05:56 MYT
Nur Azlia Syafinaz (kanan) dan Nurul Suhada Zainal menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara Akhir Kilo Kategori Wanita B pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, ketika tiba di KLIA, 14 Okt, 2018. - Gambar fail BERNAMA
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyumbangkan insentif sebanyak RM10,000 kepada atlet paralimpik negeri, yang akan mewakili negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan negeri Soon Lip Chee berkata, insentif tersebut disumbangkan kepada Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, 23 yang merupakan atlet bagi acara lumba basikal trek dan kini sedang menjalani latihan secara kuarantin di kem yang terletak dekat Nilai, Negeri Sembilan.
"Insentif yang disampaikan melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) ini, adalah menunjukkan sokongan serta komitmen kerajaan negeri kepada Nur Azlia Syafinaz, dengan harapan ia dapat memberikan satu dorongan kepada beliau untuk meneruskan perjuangan dan usaha di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti," katanya pada sidang media dalam aplikasi Zoom, sempena Majlis Penyampaian Insentif Galakan Atlet Paralimpik Negeri Pulau Pinang ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, semalam.
Sementara itu, Nur Azlia Syafinaz berkata buat masa ini persediaan dari segi fizikal dan mental adalah berada dalam keadaan yang baik namun, turut mengakui berasa sedikit gementar kerana kejohanan tersebut adalah merupakan yang pertama kali disertainya.
"Gementar juga untuk berentap di kejohanan dunia... tapi saya harap seluruh Malaysia sentiasa mendoakan kejayaan kami serta turut mendoakan supaya kami selamat pergi dan sampai serta dilindungi dari sebarang jangkitan COVID-19 setelah berjaya menyelesaikan misi negara ini," katanya yang merupakan OKU cacat penglihatan.
BACA: Lima atlet Paralimpik berpotensi besar menyinar di Tokyo
Nur Azlia Syafinaz adalah di antara 22 atlet yang akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo pada 24 Ogos hingga 5 September depan.
Beliau dijadualkan akan berangkat ke Tokyo, Jepun pada 19 Ogos dan bakal berentap bagi acara lumba basikal trek di kejohanan tersebut bermula 25 Ogos.
-- BERNAMA
#jangkitan #COVID-19 #Tokyo #Jepun #OKU #sukan #insentif #pulau pinang #Sukan Paralimpik Tokyo 2020 #Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais #Soon Lip Chee #atlet #lumba basikal trek #kuarantin #latihan
;