Pulang awal jika keadaan bertambah tegang di Lashio - Sieh Kok Chi

Fadzrie Hazis
Jun 4, 2013 16:58 MYT
"Pulang awal jika keadaan bertambah tegang di Lashio."
Itulah saranan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi buat kontinjen negara ke temasya Sukan Sea Myanmar, hujung tahun ini.
Kerisauan terhadap situasi di Myanmar kembali tercetus, selepas situasi di Lashio yang hanya 500 kilometer dari lokasi utama Sukan Sea di Naypyidaw dilaporkan kembali tegang.
Beberapa masjid dan rumah anak-anak yatim dilaporkan dibakar.
Justeru, Kok Chi turut menyarankan kontinjen negara mengambil langkah berjaga-jaga.
"Kita boleh buat dua cara. Yang pertama, kita boleh ke sana lewat sikit, lepas pertandingan pegawai dan atlet boleh kembali awal.
"Atau yang kedua, kita biar atlet dan pegawai tentukan, jika mereka mahu pulang awal, MOM tidak boleh buat apa-apa," kata Kok Chi ketika ditemubuat saluran 801, Astro Arena.
Terdapat juga negara yang bakal bersaing di temasya itu menyuarakan kerisauan terhadap soal keselamatan di Myanmar.
Antaranya ialah Filipina, yang berhasrat untuk hanya menghantar 50 orang pegawai dan atlet ke Myanmar.
Kok Chi berharap, pihak keselamatan tuan rumah dapat mengawal tahap keselamatan sebelum bermulanya temasya itu pada 11 Disember depan.
#Datuk Sieh Kok Chi #Myanmar #Sukan SEA
;