Pujukan Chong Wei buka hati Misbun sertai semula BAM
Bernama
Jun 9, 2017 21:34 MYT
Jun 9, 2017 21:34 MYT
Selepas tujuh tahun menyepi, Datuk Misbun Sidek mendedahkan sebab utama beliau kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ia tidak lain untuk merealisasikan impian bersama membantu Datuk Lee Chong Wei menamatkan penantian bergelar juara dunia.
Pujukan emosi Chong Wei telah menyentuh hati Misbun dan beliau kini bersedia untuk membantu pemain itu mencapai kejayaan di Glasgow Ogos depan.
"Saya perlu akui bahawa Chong Wei adalah sebab utama kepulangan semula saya menyertai BAM, banyak kali dia datang bertemu dan saya lihat dia benar-benar berharap kepada saya kali ini.
"Jadi saya akur dengan permintaannya kerana saya sudah anggap dia seperti anak saya sendiri. Saya nampak kesungguhan dan atas sebab itu saya terima," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Hulu Klang, pada Jumaat.
Misbun menjelaskan beliau juga sudah menolak tawaran yang dikemukan Persatuan Badminton Thailand untuk menjadi jurulatih di sana.
"Chong Wei masih lagi mempraktikkan ilmu yang saya terapkan padanya walaupun saya telah tinggalkan BAM sejak 2011 dan prestasinya sekarang ini ada turun dan naik.
"Mungkin Chong Wei mahu saya kembali kerana inginkan ilmu penghabisan daripada saya dan mahu menamatkan kariernya bersama saya," katanya.
Misbun ialah mentor yang berjaya membentuk Chong Wei menjadi seorang pemain badminton yang disegani.
Walaupun sebelum ini terdapat sedikit salah faham di antara beliau dengan pengurusan BAM, Misbun tetap mengikuti rapat perkembangan Chong Wei meskipun telah tujuh tahun meninggalkan persatuan induk badminton itu.
Misbun juga sedia bersikap profesional dalam menjalin kerjasama dengan pengarah teknikal Morten Frost meskipun umum mengetahui perseteruan di antara mereka ketika bergelar pemain era 80-an dulu.
Misbun adalah individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei sehingga muncul pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super, dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England.