PSS persatuan terbaru keluar PSM

Astro Arena
Mei 12, 2021 10:22 MYT
MARKIMAN: Sejak saya menjadi presiden dan sejak presiden sebelumnya, kami tidak pernah dapat bantuan kewangan daripada PSM. - Foto Astro ARENA
PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus dilanda dugaan besar dengan yang terbaru, Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) mengumumkan tidak lagi menjadi sebahagian ahli gabungan badan induk itu kerana hilang kepercayaan.
PSS merupakan persatuan ketiga mengambil tindakan itu selepas Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSTJ), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan PSM.
Difahamkan ketiga-tiga persatuan berkenaan mengambil langkah drastik itu kerana menyifatkan PSM telah hilang kredibiliti memandangkan presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail, telah digantung selama 15 tahun oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan badan induk negara itu juga digantung sementara sejak 28 April lalu.
Presiden PSS, Datuk Markiman Kobiran, menegaskan keputusan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak luar dan sebaliknya, ia merupakan hasil daripada perbincangan exco persatuan negeri itu kelmarin.
PSS tidak gentar untuk melakukan tindakan itu kerana dakwa Markiman, mereka tidak diberikan sebarang dana bagi program pembangunan di negeri itu sejak 2006.
"Inilah kemuncaknya, hilang kepercayaan (kepada PSM), sudah tidak yakin, ia telah berlapis-lapis sejak dari dulu lagi.
"Sudah hilang kepercayaan, macam mana PSS mahu yakin jika presiden dan ahli rasmi juga tidak dipanggil (untuk diberikan penjelasan). Penerangan mengenai tindakan undang-undang juga tidak dibuat.
"Siapakah kami ini? Kami adalah ahli gabungan. Kami layak untuk mendengar.
"Sejak saya menjadi presiden (PSS) dan sejak presiden sebelumnya, kami tidak pernah dapat bantuan kewangan daripada PSM.
"Tetapi dengan bangganya kami boleh katakan yang PSS masih hidup dan masih melahirkan pemain bertaraf negara dan ada yang menjadi pemain kebangsaan ke luar negara," katanya.
#sepak takraw #persatuan #PSS #PSM #PSTJ #Johor #Selangor #Kelantan #Persatuan Sepaktakraw Malaysia #Ahmad Ismail #gantung #Markiman Kobiran #Astaf #hilang kepercayaan
;