PSM mahu 'berdamai' dengan ASTAF

Bernama
Februari 22, 2022 05:13 MYT
Mohd Sumali berkata, PSM bakal membuat permohonan rasmi bagi menyertai semula persekutuan itu sebagai ahli gabungan yang sah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan baharu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tetap mahu meneruskan usaha untuk kembali menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), kata Presidennya Datuk Mohd Sumali Reduan.
Beliau berkata pihaknya akan memulakan perbincangan dan langkah 'pendamaian' dengan ASTAF, selain bakal membuat permohonan rasmi bagi menyertai semula persekutuan itu sebagai ahli gabungan yang sah.
"Permohonan ini juga mengambil kira pengiktirafan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap PSM sebagai badan induk bagi sukan sepak takraw yang sah.
"PSM yakin kepimpinan ASTAF akan meneliti dan membuat penilaian sewajarnya terhadap permohonan untuk PSM kembali menyertai ASTAF bagi bersama-sama dalam pembangunan sukan sepak takraw di rantau Asia," katanya dalam kenyataan semalam.
Kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan PSM pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Feb lepas.
Ahmad, yang lebih dikenali sebagai 'Tok Mat' kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian ASTAF.
Namun ASTAF pada awal bulan ini menegaskan tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.
Berikutan itu, PJS membenarkan penubuhan entiti baharu dikenali sebagai Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai wakil Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sementara itu Mohd Sumali berkata mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang diadakan semalam, sebulat suara bersetuju untuk menerima permohonan Jabatan Penjara menjadi Ahli Bersekutu PSM yang baharu, menjadikan jumlah keahlian yang bernaung di bawahnya kepada 15.
Mesyuarat sama menyaksikan pelantikan Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil yang dipilih oleh Mohd Sumali dengan persetujuan Jawatankuasa Tertinggi PSM.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi:
Naib Presiden 4 : Zuraidin Abdullah
Setiausaha Agung : Datuk Abidullah Salleh
Penolong Setiausaha 1 : Yusoff Ali
Penolong Setiausaha 2 : Mohd Jaffrey Mohd Zainol
Bendahari : (belum dilantik)
Jawatankuasa Kecil:
Pengerusi Integriti dan Tadbir Urus: Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman
Tatatertib dan Disiplin: Datuk Awang Sham Amit
Pembangunan Atlet: Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan
-- BERNAMA
#PSM #Astaf #berdamai #Mohd Sumali Reduan
;