PSM akur ketetapan sistem kiraan 15 mata
Bernama
November 5, 2023 10:45 MYT
November 5, 2023 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akur dengan keputusan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berhubung penggunaan sistem kiraan 15 mata di semua kejohanan dan pertandingan yang akan mula dilaksana pada Februari depan.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, selaku ahli gabungan di bawah naungan badan induk sukan itu, beliau menerimanya dengan hati terbuka namun meminta agar pertimbangan lain dapat diambil dari sudut kiraan mata tersebut.
"Kiraan baharu 15 mata ini adalah keputusan ISTAF (Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa), jadi PSM perlu ikut, tidak timbul soal terpaksa atau tidak. Kita memang terbuka sebab ia dah diputuskan.
"Cuma PSM ada membangkitkan beberapa perkara misalnya dah diputuskan kiraan mata 15, jadi servis (sepak mula) itu daripada tiga, kita tukar kepada dua kali," katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Mohd Sumali berkata, pada masa sama, pihaknya menyerahkan segalanya kepada ISTAF untuk memutuskan perkara berkaitan servis berkenaan.
Pada September lepas, ISTAF membuat keputusan mengembalikan sistem kiraan 15 mata mulai tahun depan berbanding 21 mata yang diamalkan sekarang, namun kekal dengan servis tiga kali bergilir-gilir dan mata boleh bertambah tanpa memegang servis.
Alasan mengembalikan pengiraan 15 mata menggantikan pengiraan 21 mata yang diperkenalkan pada 2013 itu adalah berkait rapat dengan durasi permainan.
Sepak takraw yang diperkenalkan ketika Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965, bermula dengan 15 mata, terbaik daripada tiga set dengan servis berpindah milik dan mata hanya bertambah jika memegang servis.
- BERNAMA
#Persatuan Sepaktakraw Malaysia
#Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa
#sistem kiraan 15 mata
#Mohd Sumali Reduan