PSM akan kaji semula penguatkuasaan penggunaan stadium

Astro Awani
Ogos 13, 2013 07:33 MYT
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan mengkaji semula prosedur penguatkuasaan penggunaan stadium bagi memastikan penganjur mematuhi peraturan yang ditetapkannya.
Ini berikutan dakwaan pihak penganjur lambat mengalihkan pengalas padang yang dikatakan menjadi punca rumput rosak.
Bagaimanapun menurut pengerusi PSM, Datuk Rozabil Abdul Rahman, pihak stadium selama ini telah pun mengenakan peraturan yang sangat ketat berhubung penggunaan pengalas padang.
Bagaimanapun disebabkan dakwaan yang baru timbul ini, pihak stadium tetap akan mengambil langkah tersebut.
“Perbadanan Stadium Malaysia (juga) akan mengkaji penuh keempat-empat kompleks sukan di bawah seliaan kami dan bagaimana kemudahan tersebut dapat digunakan serta proses penyelenggaraannya, dan bukan hanya padang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, untuk mengelakkan dari masalah timbul di masa hadapan, PSM telah mencadangkan agar Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup selepas konsert Linkin Park pada 19 Ogos nanti.
Selain itu, katanya pihak stadium juga telah berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bersedia untuk memindahkan perlawanan bolasepak ke lokasi lain jika perlawanan tersebut jatuh pada tarikh selepas penutupannya.
Sementara itu, Rozabil menafikan bahawa PSM telah memencilkan diri dari hakikat bahawa keadaan Stadium Nasional Bukit Jalil jauh dari sempurna.
Malah, katanya lawatan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin ke stadium tersebut serta arahan beliau untuk menutupnya menunjukkan beliau amat memandang serius perkara ini.
“Kita juga telah memastikan aktiviti lain seperti konsert tidak menjejaskan kualiti padang serta memastikan pentas dibina di atas trek balapan dan bukannya di atas padang,” katanya.
Tambahnya, ketika konsert para penonton juga dibenarkan berada di atas padang dengan syarat padang tersebut ditutup dengan pengalas supaya rumput tidak dipijak.
Pada Jun lepas, Kementerian Belia dan Sukan telah mengumumkan untuk menutup Stadium Nasional Bukit Jalil selama enam bulan mulai Oktober untuk kerja baik pulih padang stadium itu.
#Bukit Jalil #Padang #PSM #Rozabil Abdul Rahman #stadium
;