Psikologi atlet wushu diberi keutamaan menjelang Sukan Asia 2022
Bernama
Mei 13, 2023 17:15 MYT
Mei 13, 2023 17:15 MYT
PHNOM PENH: Aspek psikologi atlet menjadi tumpuan Persekutuan Wushu Malaysia dalam menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadual berlangsung bermula September depan.
Presidennya Datuk Chong Kim Fatt berkata berdasarkan prestasi barisan atlet wushu kebangsaan di Sukan SEA 2023 di sini, beliau mendapati faktor kurang keyakinan diri mengakibatkan kebanyakan atlet gagal menampilkan persembahan yang konsisten.
Beliau berkata disebabkan kelemahan itu, ada antara atlet yang berpotensi mendapatkan pingat emas terpaksa berputih mata apabila melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan pungutan mata.
"Bagi acara yang menggabungkan disiplin, selain kemahiran dan stamina, psikologi juga penting. Kita dapati dari sudut psikologi agak sedikit kurang, ini satu isu kritikal buat kita dan ia harus ditingkatkan.
"Selepas ini kita akan terus menyediakan pasukan untuk Sukan Asia, di sana juga ada acara yang menggabungkan disiplin, jadi masalah ini saya akan bawa kepada MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) kerana psikologi adalah penting untuk dapatkan keyakinan diri," katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, beliau mengharapkan bantuan dan sokongan yang lebih daripada MSN bagi memastikan pihaknya dapat mencungkil lebih ramai atlet pelapis untuk digilap menjelang Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah.
Pada edisi Sukan SEA 2025 di Thailand, Kim Fatt menjangkakan barisan atlet negara yang beraksi di sini terutamanya yang berjaya memenangi pingat mampu meraih kejayaan lebih baik.
Dalam pada itu, beliau berkata skuad wushu kebangsaan juga memerlukan sentuhan jurulatih sepenuh masa dari China memandangkan negara-negara yang meraih kejayaan lebih baik di sini, kesemuanya menggunakan khidmat jurulatih dari republik itu.
"Kita nak jurulatih dari China bukan sebab dia bagus tetapi ibarat macam anak sendiri, kita susah nak ajar mereka tetapi orang lain boleh ajar anak kita kerana mereka dengar teguran yang diberikan, itu satu tradisi dalam sukan kita," katanya.
Secara keseluruhan, skuad wushu negara membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan lima gangsa pada temasya Sukan SEA 2023 dengan Tan Cheong Min paling mencuri tumpuan selepas merangkul emas Nanquan wanita dan Nandao+Nangun wanita pada penampilan sulungnya.
-- BERNAMA