PSG terus tagih sentuhan Messi
Sinar Harian
Januari 12, 2023 12:43 MYT
Januari 12, 2023 12:43 MYT
LIONEL Messi terus tajam bersama Paris Saint Germain (PSG) selepas meledak satu gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Angers dalam saingan Ligue 1 pada Khamis.
Pengendali PSG, Christophe Galtier mengakui kehadiran semula Messi dalam pasukan selepas membantu Argentina menjulang Piala Dunia Qatar 2022 memberikan banyak perbezaan kepada pasukan.
PSG telah merehatkan Messi dalam tiga perlawanan pertama liga selepas berakhirnya Piala Dunia.
"Dia telah menjalani beberapa sesi latihan bersama kami sekarang. Dia kelihatan lebih selesa dan dalam bentuk fizikal yang sangat baik.
"Sudah tentu, pasukan berbeza dengan atau tanpa Messi. Dia juga menjaringkan gol penting untuk kami malam ini dan kita semua tahu bahawa dia suka menjaringkan gol, dia adalah jenis pemain yang memerlukan gol.
"Saya bercakap dengannya pada separuh masa untuk melihat perasaannya dan dia berkata dia berasa baik. Adalah penting untuk mempunyai Messi kembali dalam permainan kami. Fakta bahawa dia bermain 90 minit adalah lebih baik," katanya.
Kapten Argentina itu kembali membuat penampilan bersama PSG dan meledak gol kedua pasukan pada minit ke-72 selepas Hugo Ektitike menjaringan gol pendahuluan pada awal perlawanan buat gergasi Ligue 1 itu.
Dalam pada itu, Galtier juga menjelaskan perubahan formasi yang digunakan dalam perlawanan tersebut.
"Ia untuk perlawanan ini, berdasarkan cara kami membuat persediaan. Saya rasa ia tidak akan berfungsi dengan cara yang kami sediakan.
"Saya juga bercakap dengan pemain dan kakitangan saya dari segi pilihan kami, dan kami mengambil pilihan yang berbeza," katanya. - Sinar Harian