PSG sahkan Neymar tersisih sampai hujung musim
Astro Arena
Mac 7, 2023 11:44 MYT
Mac 7, 2023 11:44 MYT
NEYMAR akan diketepikan untuk baki musim ini apabila perlu menjalani pembedahan buku lali, menurut Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi.
Sentuhan bintang Brazil itu tidak dapat dipertaruhkan sejak mengalami kecederaan pergelangan kaki dalam kemenangan 4-3 ke atas Lille, bulan lalu.
Pengurus PSG, Christophe Galtier, minggu lalu mengesahkan bahawa Neymar akan terus dipinggirkan untuk pertembungan Ligue 1 menentang Nantes sebelum menang 4-2 termasuk perlawanan timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Bayern Munich, awal pagi esok.
Kini Neymar sah terlepas aksi dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.
Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu berbunyi: "Neymar Jr telah beberapa kali mengadu mengenai masalah buku lali kanannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Selepas terseliuh pada 20 Februari, kakitangan perubatan PSG mengesyorkan pembedahan untuk memulihkan ligamennya bagi mengelak risiko besar berulang. Semua pakar yang dirujuk telah mengesahkan keperluan ini.
“Pembedahan ini akan dilakukan dalam beberapa hari akan datang di Hospital ASPETAR di Doha.
"Dia dijangka berehat selama tiga ke empat bulan sebelum kembali menjalani latihan kolektif."
Neymar telah menikmati musim paling produktifnya bersama PSG sejak kempen 2018-19 apabila menyamai jumlah 34 penglibatan gol langsung (18 gol, 16 bantuan jaringan) ketika merakamkan 44 gol dalam musim pertamanya.