PSG jumpa Barca, Bayern berentap dengan Juventus

Astro Awani
Mac 15, 2013 07:50 MYT
Kelab Perancis, Paris Saint-Germain, (PSG) meniti laluan sukar apabila diundi bersama gergasi Sepanyol, FC Barcelona bagi pertemuan peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Malah, turut mencuri tumpuan adalah pertembungan membabitkan Bayern Munich dan Juventus.
Dalam majlis undian yang berlangsung pada Jumaat, PSG bakal menjadi tuan rumah kepada Barcelona bagi aksi pertama.
Ia merupakan pertemuan kompetitif pertama buat kedua-dua pasukan sejak pertengahan 1990-an.
Sementara Bayern bakal menerima kunjungan Juventus.
Kedua-dua pasukan ini pernah bertemu di peringkat kumpulan pada edisi 2004, 2005 dan 2009.
Rekod lebih memihak kepada Juventus yang menang tiga kali, seri dua kali dan tewas sekali kepada kelab Bundesliga itu.
Satu lagi wakil Jerman, Borussia Dortmund diundi berdepan Malaga buat kali pertama dalam sejarah kedua-dua pasukan.
Sementara itu, juara Eropah sembilan kali, Real Madrid bakal menanti cabaran Galatasaray yang diketuai oleh Didier Drogba.
Perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah akan berlangsung pada 2 dan 3 April sebelum diikuti aksi timbal balik yang dijadualkan berlangsung pada 9 dan 10 April.
#barcelona #Liga Juara-Juara Eropah #PSG
;