PSG benam Touluse, julang Trofi Juara Perancis
Sinar Harian
Januari 4, 2024 09:50 MYT
Januari 4, 2024 09:50 MYT
LEE Kang-in dan Kylian Mbappe masing-masing meledak gol pada separuh masa pertama untuk memastikan Paris Saint Germain memenangi piala pertama musim ini selepas menewaskan Toulouse 2-0 dalam perlawanan akhir Trofi Juara Perancis.
Kang-in bermain perlawanan terakhirnya sebelum ke Piala Asia di Qatar bersama Korea Selatan, meletakkan PSG di depan pada minit ketiga di Parc des Princes.
Mbappe kemudian menambah gol kedua sebelum rehat separuh masa untuk membolehkan PSG merangkul Trofi Juara buat kali ke-10 dalam 11 musim terakhir.
"Kami luar biasa pada separuh masa pertama. Ia adalah 45 minit terbaik kami sepanjang masa saya di sini," kata jurulatih PSG, Luis Enrique selepas meraih trofi pertamanya sebagai jurulatih sejak meninggalkan Barcelona pada 2017.
Piala Super versi Perancis kebiasaannya menjadi aksi pembuka tirai musim ini dan selalunya diadakan di luar negara sejak 15 tahun lalu termasuk di Tel Aviv.
Edisi musim ini pada mulanya dijadualkan dimainkan di Thailand pada Ogos sebelum ditangguhkan dan diadakan di stadium PSG sendiri dan bukannya di padang neutral.
Kelebihan tuan rumah memberikan pasukan Luis Enrique kelebihan apabila mereka membuka jaringan daripada salah satu serangan pertama mereka melalui Kang-in yang merembat masuk bola selepas menerima hantaran Ousmane Dembele.
Ia adalah gol ketiga musim ini untuk Kang-in yang bakal memainkan peranan besar ketika Korea Selatan menyasarkan untuk memenangi Piala Asia buat kali pertama sejak 1960.
Toulouse hampir menyamakan kedudukan pada lewat separuh masa pertama apabila rembatan Thijs Dallinga diselamatkan oleh oleh penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma.
Sebaliknya, PSG menjaringkan gol sekali lagi sejurus sebelum rehat apabila Mbappe yang bakal tamat kontrak pada penghujung musim menyambut hantaran Bradley Barcola sebelum menyudahkan untuk gol ke-22 peribadinya dalam semua pertandingan musim ini. - Sinar Harian