PSAS 2017: Van Huizen panggil semula Faizal, Kumar
Astro Arena
April 25, 2017 21:50 MYT
April 25, 2017 21:50 MYT
JURULATIH Stephen Van Huizen, memanggil semula dua pemain senior, Faizal Saari dan S. Kumar, bagi memperkuatkan skuad hoki negara dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang bermula Sabtu ini.
Stephen turut menyenaraikan Muhd Haziq Syamsul dan Firhan Ashari serta memanggil pemain muda, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, dalam senarai 18 pemain.
Antara pemain yang tidak ikut serta skuad ke Ipoh ialah Muhd Rashid Baharom, Muhd Ramadan Rosli, Mohd Izad Hakimi, Joel Van Huizen dan Muhd Hairi Abdul Rahman.
Jelas Stephen, kekuatan skuad kali ini tampak seimbang, namun ia bukanlah jaminan mereka yang dipanggil kali ini sudah ada tempat dalam kejohanan separuh akhir Liga Hoki Dunia, bulan depan.
"Kami perlu sentiasa cuba mengggunakan pemain-pemain yang berbeza kerana ia membenarkan mereka untuk bersaing dan memberikan yang terbaik untuk pasukan," kata Van Huizen.
Sementara itu, dua pemain negara, Faizal, gembira kerana dipanggil semula menyertai skuad manakala Syed Syafiq menganggap ini peluang buat dirinya menunjukkan potensi sebenar.
"Kami dapat belajar banyak perkara ketika berdepan England, Australia, dan India sebagai persiapan untuk Liga Dunia dan Sukan SEA tahun ini," kata Faizal.
"Jurulatih memberitahu saya untuk menyesuaikan diri beraksi bersama pemain-pemain sedia ada," kata Syed Syafiq.