PRU15: Negeri Sembilan mungkin tidak bubar DUN tahun ini

Bernama
Ogos 31, 2022 17:03 MYT
Aminuddin berkata, masih banyak perkara terutama berkaitan kepentingan rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan ketika ini termasuk memulihkan ekonomi. - Gambar fail
SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkemungkinan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum Mac tahun depan meskipun tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih menjadi teka-teki.
Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata ini kerana masih banyak perkara terutama berkaitan kepentingan rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan ketika ini termasuk memulihkan ekonomi.
"Bila PRU15, masih menjadi teka-teki sekarang tapi saya cadangkan supaya pilihan raya dapat diadakan tahun hadapan, namun ia terpulang pada Majlis Presiden PH untuk menentukan.
"Pada masa ini, rakyat tengah susah dan perlukan perhatian dan bantuan daripada kerajaan...adakan PRU15 ketika ini yang kosnya pasti menelan berbilion ringgit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung Pas ,Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dipetik sebagai berkata, tiga negeri diterajui parti itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.
Dalam pada itu, Aminuddin, yang juga Naib Presiden PKR, turut senada dengan pandangan itu selain berpendapat tindakan sama perlu difikirkan setiap negeri ketika ini.
-- BERNAMA
#Negeri Sembilan #kerajaan negeri #Pakatan Harapan #tidak bubar DUN
;