OLE Gunnar Solskjaer menggesa penyokong Manchester United supaya "mengekalkan keamanan" ketika melancarkan tunjuk perasaan mereka terhadap pemilik kelab itu.

Demonstrasi peminat yang tidak berpuas hati dijangka akan berlaku sebelum pertembungan Liga Perdana Inggeris (UCL) dengan Liverpool di Old Trafford, malam esok.

Pemilikan keluarga Glazer ke atas United sememangnya tidak disenangi sejak sekian lama, tetapi penglibatan kelab itu dalam rancangan penganjuran Liga Super Eropah (ESL) baru-baru ini kembali mengundang kemarahan penyokong.

Selepas 48 jam kejohanan itu diumumkan, The Red Devils kemudian menarik diri di samping seteru domestik yang terdiri daripada Manchester City, Arsenal, Chelsea, Tottenham dan Liverpool.

Kelibat barisan eksekutif dan pemilik kelab-kelab itu menjadi perhatian peminat, justeru penyokong melancarkan protes di serata negara itu maka pertembungan malam esok pastinya menjadi tumpuan utama peminat.

"Adalah sangat penting pandangan peminat didengari dan kami berkomunikasi dengan lebih baik," kata pengurus itu.

Dia menambahkan: "Ketika tunjuk perasaan berlangsung, amat penting untuk ia berlaku dengan baik supaya keamanan tetap terpelihara."


Tidak mengejutkan apabila Solskjaer mengelak daripada mengkritik pemiliknya, sebaliknya dia mahu menekankan aspek sokongan yang diterimanya tatkala berhajat memperkasakan skuad United.

"Tugas saya adalah fokus kepada bola sepak," kata pengurus kelahiran Norway itu yang menyaksikan pasukannya menguasai tangga kedua Liga Perdana Inggeris dan sebelah kaki ke final Liga Europa.

"Saya menerima sokongan hebat daripada kelab dan pemilik, jadi saya yakin akan terus menerima sokongan demi melangkah lebih jauh."

Semalam, naib ketua eksekutif United, Ed Woodward, memberi jaminan kepada penyokong kelab itu bahawa mereka tidak akan berusaha menghidupkan semula penganjuran ESL dalam satu forum panas bersama peminat.