Proses penswastaan FAS dijangka selesai pertengahan September

Bernama
Ogos 25, 2020 19:22 MYT
Dari segi persetujuan dan perancangan, pihak Red Giants FC Sdn Bhd sudah ada persefahaman dengan FAS.
Proses penswastaan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kini hampir lengkap dan dijangka selesai pertengahan bulan depan, kata Setiausaha Agungnya Dr Johan Kamal Hamidon.
Beliau berkata hanya tinggal beberapa perkara berkaitan proses penswastaan tersebut sedang diselesaikan sebelum diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
"Alhamdulliah, proses penswastaan berjalan dengan baik. Hanya dua atau tiga perkara yang belum diselesaikan.
"Dari segi persetujuan dan perancangan, pihak Red Giants FC Sdn Bhd sudah ada persefahaman dengan FAS. Jadi tarikh akhir 30 Sept itu (bagi proses penswastaan) tidak menjadi masalah kepada FAS," katanya mengulas mengenai perkembangan proses penswastaan pasukan bola sepak Selangor.
Terdahulu beliau mewakili FAS dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Mohd Radzi menandatangani perjanjian kerjasama sebagai penaja bagi program pembangunan bola sepak akar umbi, 'FAS Soccer School' yang disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga Presiden FAS, di ibu pejabat Les' Copaque Production di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya sama ada peminat FAS bakal menjadi antara pemegang saham Red Giants FC Sdn Bhd, Johan berkata setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa cadangan mengenai perkara berkenaan namun terbuka terhadap perkara tersebut.
"Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sering menyatakan bola sepak adalah sukan rakyat, jadi kita terbuka atas cadangan tersebut tetapi setakat ini ia (cadangan pegangan saham) tidak dikemukakan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memberi amaran keras bahawa pasukan yang gagal dalam proses penswastaan akan disingkir ke liga bawahan, malah turut berdepan halangan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Setakat ini, lima pasukan sudah melengkapkan proses penswastaan iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Negeri Sembilan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sarawak United.
FAM memberi tempoh sehingga 30 Sept ini kepada semua 24 pasukan Liga-M menyelesaikan proses penswastaan termasuk melengkapkan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).
Mengenai perjanjian kerjasama antara FAS dan Les' Copaque, Johan berkata syarikat animasi itu bersetuju menaja sebanyak RM120,000 untuk tempoh setahun bagi program FAS Soccer School.
"Ia merupakan peringkat awal penajaan. Semakin banyak sekolah yang menyertai program ini, jumlah penajaan juga akan bertambah. Kita (FAS) dan Les' Copaque memang mempunyai beberapa petunjuk prestasi utama untuk dicapai dan bagi peringkat awal jumlah ini (penajaan) sudah mencukupi," katanya.
Beliau berkata setakat ini enam sekolah rendah dengan kira-kira 500 murid menyertai program itu dan FAS menyasarkan 12 sekolah akan menyertai program berkenaan menjelang hujung tahun ini.
-- BERNAMA
#bola sepak #FAM #FAS #Johan Kamal Hamidon #Persatuan Bola Sepak Malaysia #Persatuan Bola Sepak Selangor #sukan #swasta
;