Program Podium: Pegawai juga tidak terlepas tindakan - Dr Khairi
Astro Arena
April 14, 2018 19:51 MYT
April 14, 2018 19:51 MYT
KETUA Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Mohd Khairi Zawi, mahukan laporan telus berhubung prestasi atlet di bawah Program Podium yang beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast.
Ia terutama melibatkan atlet yang diletakkan sebagai sasaran tetapi gagal menyumbang pingat dalam temasya sukan itu.
Beliau berkata ia kerana atlet Podium yang menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia tiada alasan untuk gagal.
"Saya rasa atlet Podium yang beraksi di Gold Coast dan seterusnya akan ke Sukan Asia Indonesia, mereka tiada pilihan untuk gagal, itu yang pertama. Keduanya, Menteri (Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin) mencabar mereka sebelum kontinjen negara berlepas.
"Setiap atlet Podium perlu berusaha untuk (terus) berada dalam Podium. Prestasi yang ditunjukkan ini sudah pasti akan dinilai," ujarnya dalam satu temubual program terbitan Astro Arena, Analisis Sukan Komanwel, hari ini.
"Bagi sukan yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia dan tidak beraksi baik dalam Sukan Komanwel, kami akan ambil tindakan yang sepatutnya," katanya lagi.
Dalam pada itu, Khairi tidak menolak tindakan sama dikenakan terhadap pegawai Podium di atas kegagalan dalam temasya sukan itu.
"Kami akan membuat rombakan besar. Sebenarnya, rombakan ini kami rancang selepas Sukan Komanwel.
"Pegawai yang berkhidmat dalam Podium, memang prestasi mereka akan dinilai secara berterusan. Kami tidak nilai mereka seperti pegawai kerajaan biasa, iaitu pada hujung tahun.
"Mereka boleh diambil tindakan yang sama (seperti atlet dan jurulatih). Kami melihat kepada penyampaian khidmat atau kurang berkesan," katanya lagi.
#atlet
#atlet negara
#Gold Coast
#Institut Sukan Negara
#ISN
#mihd khairi zawi
#peserta
#prestasi
#program podium
#Sukan Komanwel