Program Podium bagus, cuma perlu ditambah baik - Tunku Imran

Bernama
April 20, 2018 16:10 MYT
Prestasi atlet di bawah program Podium pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast akan dinilai berdasarkan prestasi mereka. - Bernama
Program Podium merupakan satu program yang bagus dan perlu dikekalkan dengan penambahbaikan, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar.
Katanya program itu juga memerlukan masa untuk membuahkan hasil yang diinginkan.
"Program Podium ini baru sahaja berusia dua tahun... untuk lahirkan juara ambil masa yang lama, bukan dalam tempoh semalaman," katanya yang ditemui selepas penyerahan obor bagi temasya Asia Pacific Masters Games (APMG), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tunku Imran yang merupakan duta APMG, berkata beliau percaya lebih ramai atlet muda yang mempamerkan prestasi tinggi serta berpotensi untuk meraih pingat dapat dilahirkan menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Mengenai prestasi atlet di bawah program itu pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast, Australia yang baru berakhir, Tunku Imran berkata Institut Sukan Negara (ISN) selaku pengendali program akan menilai semula atlet terbabit.
"Mereka (ISN) akan melihat semula prestasi atlet terbabit dan tidak teragak-agak untuk menggugurkan atlet daripada program berkenaan," katanya.
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad sebelum ini dilapor menyarankan agar program tersebut diambil alih oleh MSN susulan prestasi tidak memberangsangkan atlet Program Podium pada temasya di Gold Coast.
Inisiatif Program Podium dilancarkan pada 2015 oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin susulan kegagalan kontinjen Malaysia mencatat keputusan yang baik pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan Sukan Asia di Incheon pada tahun sama.
-- BERNAMA
#atlet #kontinjen malaysia #MOM #Olimpik Tokyo #podium #Prestasi Tinggi #Program #sukan #Sukan Komanwel #Tunku Imran Tuanku Jaafar
;