Program latihan berbeza buat Syed Agil
Syamil Izwan Azizan
Februari 1, 2013 22:15 MYT
Februari 1, 2013 22:15 MYT
Pemain tenis remaja negara, Syed Agil Syed Naguib menjalani program latihan berbeza tahun ini dalam usaha membentuk corak permainan lebih agresif.
Syed Agil yang merupakan pemenang pingat emas temasya Sukan Universiti Asean Laos 2012 sudah bersedia menghadapi intensiti yang lebih tinggi dalam latihannya.
Pemain berusia 19 tahun ini berharap program latihan berterusan membantunya mendapat tempat untuk beraksi di saingan jelajah ATP Terbuka Malaysia nanti.
"Tahun ini banyak perubahan buat saya. Latihan juga semakin mantap dan setiap minggu saya bekerja keras," kata Syed Agil.
"Bagaimana peluang saya ke ATP Terbuka Malaysia nanti, itu terpulang kepada jurulatih tetapi saya fikir latihan ini akan membuatkan saya lebih bersedia untuk menghadapinya", ujarnya lagi.
Pada saingan ATP Terbuka Malaysia 2012, Syed Agil diberi peluang beraksi dalam acara perseorangan dan beregu.
Dia bagaimanapun tewas kepada pemain veteran Amerika Syarikat, Michael Yani di pusingan kelayakan saingan perseorangan.
Sementara dalam saingan beregu, dia yang bergandingan bersama Assri Marzuki atas tiket 'wildcard' kandas di pusingan pertama.
Pemain kelahiran Negeri Sembilan ini menjadi calon sesuai untuk menggantikan pemain nombor 1 negara ketika ini, Si Yew Ming yang sudah mencecah usia 33 tahun.