Program Jom Tengok Bola semai semangat perpaduan rakyat - Halimah
Fareez Azman
Mei 20, 2022 09:00 MYT
Mei 20, 2022 09:00 MYT
SHAH ALAM: Menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat menerusi sukan.
Itu antara matlamat Kementerian Perpaduan Negara dalam program Jom Tengok Bola Harimau Muda menentang Vietnam di Restoran Hakim di Shah Alam pada Khamis.
Menurut menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, program anjuran bersama Astro AWANI itu amat bertepatan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia di samping memberi sokongan kepada skuad Harimau Muda dalam saingan peringkat separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA-31.
"Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Astro AWANI dengan kerjasama bijak hari ini bersama Restoran Hakim.
"Kita dapat saksikan ramai semua peminat bola sepak Malaysia berada di gelanggang terbuka untuk memberikan sokongan.
"Sukan ini tidak memisahkan antara kaum tapi sukan tapak integrasi menyatu padukan masyarakat Malaysia secara bersama," jelasnya.
Tambah Halimah lagi, selain sukan pelbagai inisiatif turut dijalankan kementeriannya dalam pengisian agenda Keluarga Malaysia.
"Menyatu padukan masyarakat bukan hanya bidang kesukanan, tetapi makanan juga menjadi alat perpaduan Malaysia.
"Dalam kita menyambut Hari Raya Aidilfitri, dua tahun kita tiada rumah terbuka, terbaharu rumah terbuka Perdana Menteri lebih 100,000 pengunjung yang hadir.
"Kita harap apa yang ada ini kita akan pupuk, bersama sama bertanggungjawab memantapkan lagi hubungan perpaduan diantara kaum dan agama," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, menurut Pengarang Eksekutif Branded Content Astro AWANI, Zaiful Ariffin, peranan media boleh digunakan dalam membantu membentuk perpaduan negara.
"Kita melihat peranan media, salah satu peranan kita adalah untuk menyatu padukan masyarakat, jadi antara platform terbaik adalah sukan.
"Kerjasama yang kita buat ini adalah salah satu gabungan yang baik, saya rasakan peranan media bersama kementerian kita libatkan sekali masyarakat.
"Kebetulan tahun ini juga Piala Dunia Qatar 2022, jadi demam bola sepak itu semakin hangat. Jadi kita gunakan peluang ini untuk menyatu padukan masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan Harimau Muda menentang Vietnam bersama Menteri Perpaduan Negara dalam program Jom Tengok Bola di Restoran Hakim di Seksyen 7, Shah Alam pada Khamis.
Kira-kira 1,000 orang hadir dalam program berkenaan yang bermula sejak petang.