Program akar umbi PN Perak-Perak FC: Misi bola sepak negara dikuasai anak tempatan
Bernama
Ogos 18, 2023 09:40 MYT
Ogos 18, 2023 09:40 MYT
IPOH: Pembangunan pemain bola sepak akar umbi dalam kalangan anak tempatan merupakan keutamaan Perak FC dalam agenda pembangunan bola sepak negeri ini, kata Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Justeru melihat peri penting perkara itu, Abdul Azim berkata, Perak FC bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak melancarkan Program Pembangunan Akar Umbi JPN Perak-Perak FC.
"Kita sebenarnya mempunyai ramai pemain berbakat dan mereka perlu digilap sejak awal dari peringkat sekolah lagi agar suatu masa nanti, kita mempunyai pemain yang berkualiti tinggi dan 11 pemain di padang kelak, semuanya adalah pemain tempatan.
"Kita sasarkan program ini akan nampak impaknya dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi supaya lepas ini, kelab bola sepak tempatan tidak lagi bergantung kepada pemain-pemain luar dan lebih selesa menggunakan pemain tempatan," katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, sepanjang tahun ini, Perak FC telah menyasarkan lapan daerah untuk program terbabit bermula di Perak Tengah pada 29 Julai lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah Parit dan yang kedua di Kerian, SMK Sultan Abu Bakar Al Baqir, pada 12 Ogos lalu.
"Kita akan teruskan sesi berikutnya di SMK Sultan Idris Shah II di Hulu Perak (26 Ogos), SMK Raja Shahriman Manjung (9 Sept), SMK Khir Johari di Mualim (30 Sept) dan SMK Abdul Rahman Talib di Hilir Perak (7 Okt) manakala daerah Kinta dan Larut Matang serta Selama pada 21 Okt dan 4 Nov ini.
"Kita sedar pembangunan akar umbi adalah antara elemen terpenting dalam mewujudkan kelab bola sepak yang berjaya, kita telah beri perhatian perkara ini untuk mencari bakat baharu bagi Perak," katanya.
Abdul Azim berkata "Grassroots Playday Festival Siri ke-II" di SMK Abu Bakar Al-Baqir (SABAR), Bagan Serai telah menarik seramai 201 murid sekolah rendah sekitar Kerian.
"Para peserta program ini telah didedahkan dengan teknik asas permainan bola sepak oleh para jurulatih daripada Perak FC diketuai oleh Raja Azlan Shah Raja So'ib selaku Ketua Pembangunan dan Pencarian Bakat (KPPB) Perak FC.
"Walaupun kita anggarkan penyertaan peserta sekitar 120 sahaja namun sambutan amat menggalakkan malah di Perak Tengah pun kita terima 134 peserta dan setiap sekolah kita wujudkan 'District Training Centre' (DTC) untuk menjadi rangkaian pencarian bakat," katanya.
Menyentuh mengenai pasukan, beliau berkata, pihaknya percaya sokongan semua agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kerajaan negeri sangat penting dalam memastikan kelangsungan industri bola sepak negara.
"Orang yang mahu menyumbang ini ibarat situasi 'chicken-and-egg' iaitu siapa yang datang dahulu dan begitu juga dalam bola sepak penaja mahukan kemenangan dahulu barulah mereka nak menyumbang.
"Namun, sesebuah pasukan nak menang perlukan sumbangan atau dana yang besar untuk mencipta pasukan yang hebat selain meningkatkan prestasi pasukan, namun setakat ini Perak FC banyak penaja dari dalam XOX (syarikat telekomunikasi XOX Berhad) itu sendiri.
"Jadi kita sedang berusaha sebaik mungkin untuk menarik lebih banyak penaja luar bagi tahun depan agar dapat meningkatkan lagi prestasi pasukan," katanya.
Mengulas kemelut antara Perak FC dan bekas jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim, Abdul Azim berkata perkara itu tidak mengganggu segala perancangan aspek pembangunan yang disusun pihak kelab.
"Keputusan melepaskan beliau adalah keputusan daripada pihak pengurusan Perak FC termasuk Ahli Lembaga Pengarah Perak FC dan saya yakin beliau (Teong Kim) turut sedar akan perkara ini kerana saya sendiri sudah dua kali berbincang dengan beliau secara bertentang mata.
"Itu sebab kita selalu tekankan pada Teong Kim sebelum ini sasaran kita adalah kedudukan pertengahan dalam liga agar sasaran daripada penaja itu tercapai namun, mungkin nasib tidak menyebelahi beliau dan kita terpaksa lepaskan beliau," katanya. - BERNAMA