Prestasi skuad Indonesia: Ada apa sebenarnya dengan sentuhan magis Shin Tae Yong?

Astro Arena
September 9, 2024 15:47 MYT
Media di Korea mendakwa bahawa kejayaan Timnas Indonesia sebenarnya banyak disebabkan oleh sentuhan yang diberikan oleh Shin Tae-yong. - Stadium Astro
RAMAI yang berangkali kini membuka mata dan gembira dengan pencapaian serta prestasi memukau yang ditampilkan oleh skuad bola sepak Indonesia kebelakangan ini.
Sebahagian kita tidak kurang juga mungkin akan meletakkan tanda soal siapakah yang ada di belakang yang menjadi entiti terpenting di sebalik aksi memukau mereka hingga mampu menongkah cabaran yang bukan sebarang di pelbagai pentas penting antarabangsa.
Namun beberapa hari kebelakangan ini media-media antarabangsa juga nampaknya juga berminat untuk mengetahui rahsia terhadap resepi sebenar kejayaan mereka hingga mampu mengikat Arab Saudi 1-1 ketika perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026.
Malah semalam media di Korea mendakwa bahawa kejayaan Timnas Indonesia sebenarnya banyak disebabkan oleh sentuhan yang diberikan oleh Shin Tae-yong.
Sejak pembabitan beliau selaku pengendali skuad kebangsaan Indonesia sekitar 2019 lagi, peningkatan ketara dari segi prestasi pemain dan pemilihan pemain amat jelas.
Di bawah kepimpinannya skuad Indonesia berjaya ke Piala Asia buat pertama kali sejak 15 tahun selain turut melayakkan diri ke Piala Asia Bawah 23 tahun untuk pertama kalinya.
Malah ranking dunia FIFA membabitkan pasukan Indonesia kian naik dari tahun ke tahun dan kini menduduki tangga ke-131 dunia.
Kejayaan skuad bawah 23 tahun Indonesia yang mengakhiri saingan di peringkat Piala Asia di tempat ke-4 adalah satu pencapaian yang cukup menunjukkan bahawa sentuhan beliau itu mengubah keseluruhan lanskap bola sepak negara jiran itu.
Kemampuan mereka di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini hingga melayakkan mereka bersaing di pusingan kalah mati walaupun tewas 0-1 kepada Guinea cukup mengagumkan pemerhati bola sepak antarabangsa.
Jika dibandingkan dengan prestasi semasa beberapa negara tetangga yang lain, kemampuan yang dimiliki oleh Indonesia di bawah kendaliannya ketika ini adalah antara yang terbaik dan ia semestinya perlu diakui. -- Stadium Astro
#skuad bola sepak Indonesia #jurulatih indonesia #Shin Tae-yong #kelayakan Piala Dunia #ikat Arab Saudi
;