Prestasi merudum, AS Roma pecat Mourinho
Luqman Hariz
Januari 16, 2024 18:33 MYT
Januari 16, 2024 18:33 MYT
Kelab bola sepak Itali, AS Roma memecat pengurusnya, Jose Mourinho, pada Selasa.
Ia susulan prestasi hambar kelab itu di bawah kendalian pengurus berusia 60 tahun itu, dengan hanya satu kemenangan dalam enam perlawanan di liga Serie A.
Kelab itu kini menduduki tangga kesembilan dengan 29 mata, 22 mata di belakang pendahulu Inter.
AS Roma baru-baru ini tersingkir daripada kejohanan Coppa Italia menentang kelab seterunya Lazio, di mana Mourinho turut dilayangkan kad merah.
Mourinho dilantik pengurus AS Roma pada 2021, dan berjaya mengemudi kelab itu menjuarai Europa Conference League pada 2022.
Beliau juga berjaya membawa AS Roma ke pentas final Liga Eropah (Europa League) musim lalu, tetapi dikalahkan oleh Sevilla melalui sepakan penalti.
Jurulatih berusia 60 tahun itu terkenal dengan pengalamannya mengurus kelab-kelab besar dunia, termasuk Chelsea, Inter, Real Madrid dan Manchester United.
AS Roma tidak memberikan sebarang maklumat mengenai pengganti Mourinho buat masa ini, dengan kelab itu bakal bertemu kelab di ranking ke-18 liga Itali, Verona pada 21 Januari depan.