Prestasi Harimau Malaysia tidak setaraf pasukan ASEAN lain, kata Scully
Astro Arena
November 28, 2016 18:57 MYT
November 28, 2016 18:57 MYT
MALAYSIA tidak setaraf dengan negara ASEAN lain.
Itu reaksi Penganalisis Teknikal Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Datuk Richard Scully, merujuk kepada prestasi Harimau Malaysia yang tersingkir awal daripada Kejohanan Piala AFF Suzuki.
Sukar untuk menerima hakikat penyingkiran Malaysia daripada saingan Piala Suzuki di peringkat kumpulan, namun itulah realiti yang perlu diterima.
Ketika negara lain mula menampakkan kebangkitan prestasi mereka, Malaysia pula masih di takuk yang sama.
Perkara ini diakui oleh Richard yang ditugaskan oleh AFF betapa prestasi Malaysia jauh ketinggalan dengan negara lain.
"Saya dapat melihat kualiti saingan dalam Piala Suzuki AFF sudah meningkat, ia telah dibuktikan apabila Singapura dan Malaysia telah tersingkir daripada peringkat kumpulan. Ini bermakna anda harus membuat persiapan rapi jika mahu menjuarainya," katanya.
Kelibat negara-negara bertanding seperti Indonesia dan Myanmar jelas memperlihatkan kematangan mereka dalam acara dwi-tahunan itu.
Richard turut memilih Thailand sebagai pilihan untuk muncul juara, merujuk prestasi mereka dan disulami dengan sentimen tambahan, ekoran kemangkatan raja kesayangan mereka, Raja Bhumibol Adulyadej, bulan lalu.
"Kualiti permainan Thailand berada di tahap yang tinggi, saya percaya mereka akan ke final dan mengulangi kejayaan mereka dua tahun lalu."