Prestasi di Kemboja tidak pengaruhi Sukan Asia - MSN

Bernama
Jun 15, 2023 07:00 MYT
Suhardi (kanan) hadir pada majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Negeri Sembilan ke Sukan SEA ke-32 Kemboja yang disampaikan Aminuddin (tiga, kanan) di Seremban, 15 Jun 2023. - Foto Facebook YAB Menteri Besar Negeri Sembilan
SEREMBAN: Majlis Sukan Negara (MSN) optimis bahawa prestasi kurang memuaskan kontinjen di Sukan SEA Kemboja tidak akan mempengaruhi pencapaian atlet di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, September depan.
Timbalan Ketua Pengarah MSN Suhardi Alias berkata ini kerana acara dipertandingkan di kedua-dua temasya sukan berkenaan tidak sama selain mempunyai senario berbeza.
Beliau berkata, sebahagian besar acara di Sukan Asia adalah sama seperti yang dipertandingkan di Sukan Olimpik sekali gus membuka peluang sama rata kepada semua atlet untuk meraih kejayaan.
"Di Sukan SEA kita dapati banyak acara baharu yang berpihak kepada pasukan tuan rumah tetapi di Sukan Asia dari segi kualiti pertandingannya berbeza.
"Jadi, amat penting untuk kita menerapkan persediaan yang baik. Saya merasakan cabaran ini berbeza dan peluang untuk dapat pingat bergantung kepada atlet sesebuah negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Negeri Sembilan ke Sukan SEA ke-32 Kemboja yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini semalam.
Mengenai sasaran pingat di Sukan Asia, Suhardi berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat penetapan pingat bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), persatuan sukan kebangsaan dan pengurus pasukan serta jurulatih nanti.
"Sudah pasti kita tidak akan menetapkan sebarang sasaran yang memberikan tekanan kepada para atlet kerana saingan di Sukan Asia amat tinggi sekali gus boleh menyumbang banyak implikasi kepada prestasi mereka," katanya.
Sementara itu, beliau berkata kontinjen negara ketika ini giat menjalani latihan di dalam dan luar negara menjelang temasya Sukan Asia dan beliau berpuas hati dengan tahap persediaan serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh atlet, jurulatih, persatuan dan pegawai pasukan.
Sukan Asia 2023 dijadual berlangsung pada 23 Sept hingga 8 Okt depan.
-- BERNAMA
#Sukan SEA Kemboja #Suhardi Alias #prestasi kurang memuaskan #kontinjen malaysia #Sukan Asia 2022
;