Prestasi di Kemboja bukan kayu ukur sasaran pingat Sukan Asia - Adam Adli

Bernama
Ogos 19, 2023 21:45 MYT
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata konteks penyertaan kontinjen negara pada kedua-dua temasya sukan tersebut adalah berbeza. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Prestasi mengecewakan kontinjen negara pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Mei lepas, tidak boleh dijadikan kayu ukur dalam menetapkan sasaran pingat Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, bulan depan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata konteks penyertaan kontinjen negara pada kedua-dua temasya sukan tersebut adalah berbeza.
"Seperti sedia maklum, Sukan Asia diwakili atlet lebih senior manakala Sukan SEA disertai atlet junior jadi konteksnya berbeza.
"Memandangkan atlet negara terlibat ke Sukan Asia 2022 telah menjalani persiapan sejak dua tahun lepas, kita mengharapkan agar mereka dapat memberikan persembahan terbaik nanti," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Badminton Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia Masters (MMBA) 2023.
Adam Adli berkata sasaran Sukan Asia 2022 akan diumumkan tidak lama lagi selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan menjalani bengkel penetapan sasaran pingat pada Selasa ini.
Sukan Asia 2022 yang ditunda penganjurannya susulan COVID-19 bakal berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt ini.
Pada Sukan SEA Kemboja, berlangsung dari 5 hingga 17 Mei lepas, Malaysia menduduki tempat ketujuh selepas mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, iaitu pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan dalam temasya dwitahunan itu sejak 1959, selain gagal mencapai sasaran ditetapkan 40-37-64.
Kontinjen Malaysia memenangi tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa pada Sukan Asia 2018 di Indonesia sekali gus menyaksikan mereka menduduki ranking ke-14 daripada 45 negara.
Bagaimanapun, beberapa sukan yang menyumbang pingat pada Sukan 2018 tidak dipertandingkan pada edisi kali ini, antaranya tenpin boling yang meraih dua emas dan dua perak serta pencak silat menerusi kejayaan merangkul empat perak dan empat gangsa.
Dalam pada itu, Adam Adli menyambut baik penganjuran MMBA 2023 yang dibuka kepada golongan berusia 35 tahun dan ke atas.
Katanya kejohanan itu menjadi platform bagi bekas pemain untuk terus aktif menyertai pertandingan, selain mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam negara.
-- BERNAMA
#prestasi di Kemboja #Sukan Asia #Kementerian Belia dan Sukan #Adam Adli Abd Halim
;