Prestasi cemerlang Tang Jie-Ee Wei beri saingan sengit dalam beregu campuran negara
Bernama
April 15, 2023 23:15 MYT
April 15, 2023 23:15 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi cemerlang beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kebelakangan ini merupakan petanda positif untuk terus menyajikan saingan sengit untuk pasangan negara lain meningkatkan tahap permainan mereka.
Bekas pemain campuran negara, Goh Liu Ying, merasakan perkara itu amat baik apabila Malaysia kini mempunyai beberapa pasangan campuran negara yang mempamerkan aksi konsisten ketika berada dalam gelanggang.
"Memang mereka (Tang Jie-Ee Wei) main sangat bagus dan ada peluang main dalam Sukan Olimpik. Saya rasa ini saingan yang bagus antara tiga atau empat pasangan sekarang di mana standard beregu campuran negara semakin meningkat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Kejohanan GLY 3V3 di Sunway Velocity, di sini, hari ini.
Tang Jie-Ee Wei yang baru digandingkan November lalu kini menghuni ranking ke-22 dunia dan telah mencipta sensasi menjuarai Kejohanan Orleans Masters di Perancis, Ahad lalu, dan sebelum itu itu mereka merangkul gelaran Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022.
SUKAN-BADMINTON (LIU YING) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sementara itu, dua beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, pula menduduki kedudukan lapan dunia diikuti Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing di ranking ke-13 dunia, di mana kedua-dua pasangan berkenaan tersenarai dalam projek Road To Gold (RTG).
Projek RTG diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bulan lalu dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik meliputi edisi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Liu Ying, yang berganding dengan Chan Peng Soon untuk merangkul pingat perak Sukan Olimpik 2016, berkata projek RTG ini amat baik terutamanya bagi membantu pasangan profesional negara menyertai kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi mengumpul mata kelayakan ke temasya Sukan Olimpik.
"Badminton mempunyai satu tahun bagi pemain mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik, jadi pemain profesional memerlukan tajaan untuk menyertai banyak kejohanan," katanya.
Mengikut format badminton Olimpik, setiap negara boleh diwakili maksimum dua beregu, sekiranya kedua-dua mereka menduduki ranking lapan terbaik dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik 2024, yang akan bermula 1 Mei ini.
-- BERNAMA