Prestasi cemerlang Rasmus Hojlund kekalkan rekod kemenangan Manchester United
Astro Arena
Februari 19, 2024 08:30 MYT
Februari 19, 2024 08:30 MYT
DUA jaringan awal Rasmus Hojlund terbukti cukup untuk Manchester United mengetepikan Luton selepas permulaan pantas mereka diancam menjadi malang di Kenilworth Road.
Red Devils kendalian Erik ten Hag telah menikmati permulaan tanpa kalah pada 2024 dan mengharapkan masa depan yang lebih cerah di bawah kendalian Sir Jim Ratcliffe ketika pengerusi Ineos itu bersedia untuk secara rasmi menjadi pemilik minoriti minggu depan.
United meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam semua pertandingan pada Ahad tetapi bekerja keras untuk kemenangan 2-1 mereka ke atas Luton selepas Hojlund menjaringkan dua gol pada tujuh minit pembukaan.
Jaringan pembukaan terhasil hanya 37 saat selepas sepak mula dan menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu menggantikan pemain tengah Newcastle, Joe Willock, sebagai pemain termuda yang menjaringkan gol dalam enam perlawanan Liga Perdana Inggeris berturut-turut.
United tidak pernah mendahului dalam Liga Perdana Inggeris lebih cepat daripada perlawanan ini, dan mereka juga tidak pernah mendahului 2-0 seawal tujuh minit di tempat lawan apabila Hojlund menampan masuk rembatan voli Alejandro Garnacho.
Tetapi Luton menyukarkan tempoh United di Kenilworth Road apabila Carlton Morris mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-14.
Pasukan bimbingan Rob Edwards sentiasa menghadirkan kerunsingan buat United, yang bernasib baik tidak melihat Casemiro dibuang padang sebelum digantikan pada separuh masa.
Separuh masa kedua yang penuh dengan aksi namun tiada jaringan berjaya terhasil sehingga tamat perlawanan.