President PBNS libat secara langsung dalam proses pilih pemain
Bernama
November 20, 2014 09:10 MYT
November 20, 2014 09:10 MYT
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan mengambil keputusan untuk melibatkan diri secara langsung dalam proses mendapatkan pemain bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.
Katanya beliau bersama persatuan akan membuat pemilihan pemain yang benar-benar layak menyarung jersi skuad Hobin Jang Hobin itu dalam usaha melonjakkan pasukan itu ke Liga Super pada musim 2016.
"Sekarang ini saya masuk campur, rundingan dengan pemain saya masuk campur, bayaran pun saya masuk campur. Puas hati saya. Kalau tak betul esok memang salah saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Wanita Negeri Sembilan (NSWO), di sini Rabu.
Mohamad, yang juga Menteri Besar, berkata PBNS akan berbelanja lebih berhemah bagi musim 2015 dengan memberi tumpuan kepada pemilihan pemain berkualiti.
Menurutnya, kontrak pemain sedia ada akan tamat pada 30 Nov ini dan PBNS akan menandatangai kontrak dengan pemain baharu dan lama pada 1 Dis ini.
"Majlis memperkenalkan pemain, acara ikrar integriti serta memperkenalkan jersi musim 2015 pula akan kita buat pada 6 Dis ini di Central Court Paroi," katanya.
Negeri Sembilan mengakhiri Liga Perdana tahun ini di tangga keenam.
Sementara itu, Mohamad berharap NSWO yang mempunyai keahlian sebanyak 350,000 orang daripada 25 buah persatuan, akan bersama-sama dengan kerajaan untuk memastikan segala dasar-dasar dan hasrat kerajaan untuk mensejahterakan masyarakat akan dapat dilaksanakan bersama.
"Kita meyakini NSWO sebagai rakan kongsi kita akan bersama-sama menjayakan dasar jaringan keselamatan sosial kita di Negeri Sembilan iaitu untuk mensejahterakan masyarakat," katanya.
Dalam majlis tersebut, Mohamad turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM250,000 daripada pejabat Menteri Besar Diperbadankan kepada NSWO.