Presiden UFC sifatkan bola sepak tidak perlukan bakat, sekadar 'sukan untuk kanak-kanak'

Agensi
Disember 8, 2022 15:29 MYT
Di sebalik dakwaan White, angka tontonan di Piala Dunia tahun ini mencapai angka luar biasa. - REUTERS
PRESIDEN UFC, Dana White menyifatkan bola sepak sebagai sukan yang paling tidak mengagumkan.
The Sun melaporkan White, 53, membandingkan bola sepak dengan seni mempertahankan diri campuran (MMA) dan nyata tidak kagum.
Dia yang telah bertanggungjawab ke atas UFC selama lebih 20 tahun, turut menyatakan dia tidak boleh menerima bola sepak sebagai sukan yang digemari ramai.
Di sebalik dakwaannya, angka tontonan di Piala Dunia tahun ini mencapai angka luar biasa.
Menurut FIFA, 36.4 juta orang menyaksikan kekalahan Jepun di peringkat kumpulan kepada Costa Rica.
Sementara itu, keputusan seri tanpa jaringan England dengan Amerika Syarikat mempunyai penonton tertinggi sebanyak 19.7 juta penonton di saluran Fox.
Tetapi White masih tidak kagum walaupun sukan itu semakin berkembang di AS.
“Bola sepak? Saya tidak boleh terima bola sepak, saya fikir ia adalah sukan yang paling tidak memerlukan bakat di dunia.
"Ada sebab kanak-kanak berusia tiga tahun boleh bermain bola sepak. Anda berlari dan menendang bola," kata White seperti yang dipetik dalam satu sesi podcast.
Bola sepak bukan sukan yang popular di AS, berbanding bola keranjang dan American Football.
Walaupun ada yang mungkin bersetuju dengan pendapat White, ramai rakyat AS tidak berkongsi sentimen yang sama.
Perlawanan yang menyaksikan AS tewas 3-1 kepada Belanda baru-baru ini, ditonton 12.2 juta penonton di Fox.
"Bola sepak kini menjadi antara sukan paling diikuti di televisyen," kata bekas presiden ESPN, John Skipper, kini Ketua Pegawai Eksekutif Meadowlark Media, kepada Associated Press.
Tambahnya, Liga Perdana Inggeris, Bundesliga Jerman, Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara, menarik lebih ramai penonton berbanding Major League Soccer, yang merupakan liga bola sepak utama di AS.
#Dana White #UFC #MMA #bola sepak
;