Presiden PBNJ : Bukan JMF
Astro Awani
Januari 18, 2013 08:58 MYT
Januari 18, 2013 08:58 MYT
Anggota berpakaian tentera bukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) yang dikatakan berada dalam Stadium Sultan Muhammad ke-4 di Kota Bharu, Kelantan, Selasa lalu.
Menurut Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, anggota itu adalah grup Gerak Khas-21 komando dari Kem Gerak Khas Mersing, Johor.
Titah baginda, kemunculan Kor Gerak Khas di lokasi berkenaan adalah sebahagian daripada prosedur biasa PBNJ.
Ia bagi persediaan sekiranya Sultan Johor atau baginda sendiri selaku Tengku Mahkota Johor menyaksikan perlawanan tersebut.
Baginda berharap perkara ini tidak dijadikan isu.
Beberapa akhbar pada Khamis melaporkan perlawanan di Kota Bharu itu dihadiri beberapa anggota JMF lengkap bersenjata.
Kehadiran pasukan komando mengiringi Skuad Johor Darul Takzim mendapat reaksi kurang senang peminat bola sepak di Kelantan.
Peminat Kelantan mendakwa ia seolah-olah suasana di Stadium Sultan Muhammad IV tidak selamat buat pasukan pelawat.
Tunku Ismail ditemui di kediaman rasminya di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.