Presiden Pafa tidak berganjak walaupun didesak letak jawatan

Bernama
November 4, 2018 20:19 MYT
Hasnul memegang Piala Malaysia yang dimenangai pasukan Perak sambil berarak menaiki bas dua tingkat Hop-On Hop-Off mengelilingi Pekan Parit Buntar dan Bandar Baru sejauh lebih 10 kilometer, 30 Okt, 2018. --fotoBERNAMA
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim tidak berganjak daripada pendiriannya untuk terus memegang jawatan itu walaupun menerima desakan daripada penyokong The Bos Gaurus supaya meletakkan jawatan.
Hasnul Zulkarnain berkata desakan itu adalah bermotifkan politik dan serangan peribadi sejak beliau mengambil alih jawatan Presiden Pafa.
"Saya tidak terkesan dengan desakan itu," katanya dalam sidang media selepas menutup Karnival Sinar Harapan ''Inspirasiku Teristimewa' di Dataran Pinggiran Sungai Kerian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai desakan penyokong tegar bola sepak Perak yang mahu Hasnul Zulkarnian melepaskan jawatan tersebut selepas tindakannya disifatkan tidak menghormati Piala Malaysia yang dimenangi The Bos Gaurus baru-baru ini.
Tindakan Hasnul Zulkarnain yang menimbulkan kemarahan netizen termasuk tindakannya bergambar bersama Piala Malaysia di tepi kolam renang sehingga tular di media sosial.
Hasnul Zulkarnain yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Titi Serong berkata beliau masih mendapat sokongan penuh daripada Jawatankuasa Exco Eksekutif PAFA yang akan memutuskan sama ada beliau perlu melepaskan jawatan itu atau sebaliknya.
"Jawatankuasa Exco Eksekutif PAFA akan mengadakan mesyuarat exco Khamis ini memandangkan pelantikannya mendapat sokongan gabungan persatuan bola sepak daerah-daerah," katanya,
Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain berkata beliau mengakui kesilapan yang dilakukannya itu adalah kelemahan dirinya sendiri kerana keterujaan setelah 18 tahun Perak menunggu detik kemenangan tersebut ditambah pula kemenangan itu digapai ketika beliau memegang jawatan Presiden PAFA.
Tambahnya, sambutan untuk meraikan kejayaan pasukan bola sepak Perak memenangi Piala Malaysia akan diadakan di beberapa daerah yang terpilih dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dijangka turut serta meraikannya bersama rakyat.
--BERNAMA
#desakan #Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim #letak jawatan #penyokong #presiden pafa #The Bos Gaurus
;