Presiden KAFA: Annuar belum buat keputusan
Bernama
Julai 1, 2019 23:35 MYT
Julai 1, 2019 23:35 MYT
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa belum memutuskan sama ada untuk menerima atau tidak pencalonan untuk menerajui persatuan berkenaan dalam Kongres Luar Biasa (EGM) persatuan itu pada 6 Julai ini.
Annuar berkata beliau perlu meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya berikutan kekangan tugasnya sebagai wakil rakyat serta Setiausaha Agung UMNO.
Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai pencalonannya melalui akhbar dan dimaklumkan bahawa ia dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ).
"Saya tidak tahu lagi sama ada mahu dipilih atau tidak, belum fikir lagi. Kita nak buat sesuatu benda itu kena fikir masak-masak. Saya kena tentukan apakah keutamaan saya, tugas mana yang lebih besar," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata peluang harus diberi kepada individu yang benar-benar berminat menggalas jawatan tersebut selain mempunyai keupayaan membawa The Red Warriors kembali sebagai sebuah pasukan disegani.
"Sesiapa yang jadi presiden kena cermin diri untuk memastikan mereka ada keupayaan untuk melaksanakan tugas. Tidak ada makna berebut-rebut jawatan tetapi tidak boleh menjalankan tugas," katanya.
Selain Annuar, tiga calon lain untuk merebut jawatan Presiden KAFA adalah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.
Bagaimanapun, senarai akhir hanya akan diketahui selepas 12 tengah hari esok - tarikh akhir pengesahan daripada calon sama ada menerima pencalonan untuk bertanding ataupun menolak.
-- BERNAMA
#Annuar Musa
#bola sepak
#calon
#EGM
#KAFA
#Kelantan
#Persatuan Bolasepak Jajahan
#The Red Warriors
#UMNO