Presiden FIFA, Infantino ucap tahniah kepada Hamidin
Bernama
Februari 2, 2023 17:55 MYT
Februari 2, 2023 17:55 MYT
MANAMA (Bahrain): Presiden FIFA, Gianni Infantino, menjadi antara individu dalam komuniti bola sepak antarabangsa mengucapkan tahniah atas kejayaan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memenangi kerusi Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Infantino, yang menyaksikan kemenangan Hamidin semasa Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-33. di sini, semalam, juga tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengannya untuk membangunkan bola sepak di Malaysia dan juga dunia.
"Saya gembira dengan kejayaan Hamidin pada pemilihan ini dan ia sangat penting bagi Malaysia. Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak sekian lama.
"Kami tidak sabar untuk terus membangunkan bola sepak di seluruh rantau ASEAN, Asia dan juga dunia," katanya menerusi klip video yang disiarkan di laman media sosial FAM.
Semalam, Hamidin, yang sebelum ini Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, merupakan antara tujuh calon yang menang mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia dalam Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027.
Empat lagi wakil Asia terpilih dalam Majlis FIFA ialah Sheikh Hamad Khalifa A. A. Al Thani (Qatar), Kohzo Tashima (Jepun), Mariano Areneta Jr (Filipina),Yasser H. Almisehal (Arab Saudi) manakala calon wakil wanita dimenangi oleh Kanya Keomany dari Laos.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata, Hamidin layak memenangi jawatan itu atas kerja keras dan pengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak.
"Hamidin sudah lama bersama kami (AFF) dan ucapan tahniah daripada kami. Ini kali pertama kita mempunyai tiga wakil ASEAN di Majlis FIFA," kata Khiew, yang juga Persatuan Bolasepak Kemboja.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF), Dr Tran Quoc Tuan berkata, pemilihan Hamidin bukan sahaja berita baik untuk Malaysia malah untuk bola sepak ASEAN.
"Sebelum ini dia bekerja keras untuk membangunkan bola sepak peringkat serantau di ASEAN dan Asia, kini menjadi ahli majlis FIFA. Sangat penting kerana beliau boleh menyertai mesyuarat FIFA dan cuba mencari penyelesaian yang sangat baik untuk bola sepak Asia," katanya.
Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon berharap kepimpinan Hamidin dapat membantu usaha meningkatkan standard bola sepak negara ke taraf dunia. - BERNAMA