Presiden FAM: TMJ vs Annuar Musa
Israr Khalid
Februari 13, 2017 18:56 MYT
Februari 13, 2017 18:56 MYT
Perebutan ‘kerusi panas’ jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tengku Ismail Sultan Ibrahim.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin selepas tempoh penyerahan borang penerimaan pencalonan tamat pada jam 5 petang tadi di Wisma FAM, di sini.
"TMJ dan Annuar merupakan dua calon yang telah mengesahkan pencalonan sehingga tarikh tutup iaitu pada jam 5 petang ini.
“Bagaimanapun pencalonan ini akan diteliti dalam Mesyuarat Exco pada 20 Februari ini," katanya.
Pengesahan penyertaan TMJ itu bermakna Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah tidak bertanding sepertimana pendiriannya yang dinyatakan sebelum ini, selain bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat yang juga menarik diri daripada perebutan itu.
Sementara itu, pertandingan bagi jawatan dua timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan antara empat calon, manakala sembilan calon bagi empat jawatan naib presiden.
Pemilihan FAM akan diadakan pada Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac ini.