Presiden FAM sembah maklum perkembangan bola sepak tanah air kepada Agong

Faris Danial Razi
Disember 9, 2020 21:27 MYT
Sebagai tanda menjunjung kasih FAM ke atas Seri Paduka Baginda, Datuk Haji Hamidin turut menyampaikan pemberian jersi baharu skuad Harimau Malaya kepada KDYMM Seri Paduka Baginda. - Facebook/FAMalaysiaOfficial
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuala Lumpur pada Rabu bagi menyembah maklum perkembangan terkini bola sepak tempatan.
Perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya yang diilhamkan oleh ayahanda KDYMM Seri Paduka Baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014 adalah antara yang menjadi tujuan pertemuan tersebut.
FAM dalam satu kenyataan memaklumkan, NTC di Presint 5, Putrajaya dicadang menampilkan kemudahan moden termasuk tiga padang berciri antarabangsa yang kini dalam perbincangan fasa terakhir bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum kerja-kerja awal pembinaannya dijangka dimulakan pada awal tahun depan.
"Rundingan untuk membina ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 juga sedang dimuktamadkan dan dijangka mula dibina pada lewat tahun 2021.
"FAM juga memohon perkenan pandangan Seri Paduka Baginda mengenai tanah FAM di Bentong, Pahang seluas 30 ekar," jelas kenyataan itu.
Hamidin turut menyembah maklum beberapa isu semasa kepada Seri Paduka Baginda dalam kapasiti Al-Sultan Abdullah selaku tokoh yang berpengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan luar negara, termasuk menggalas tugas selaku Presiden FAM dari 2014 hingga 2017.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Hamidin dilaporkan menyembah maklum aktiviti bola sepak negara kendalian FAM dan Malaysian Football League (MFL) terutama membabitkan jadual perlawanan yang berlandaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan pandemik COVID-19.
BACA: FAM nafi Harimau Malaya tarik diri kelayakan Piala Dunia, Piala AFF
Majlis menghadap Seri Paduka Baginda kali kedua sejak 27 Jun 2019 itu turut dinyatakan proses penswastaan kelab dan pasukan Liga Malaysia serta pemisahan FA kepada FC selain persediaan dan persiapan pasukan kebangsaan bagi menyambung saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac.
“Ia termasuk perjalanan saingan Liga Malaysia musim 2021 juga Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang akan dijadual Disember tahun depan,” tambah kenyataan itu lagi.
BACA: Jersi baharu Harimau Malaya dilancarkan hari ini
Pada masa sama, Hamidin juga menyembah maklum mengenai perkembangan terkini bola sepak yang diputuskan dalam EXCO AFF dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Sebagai tanda menjunjung kasih FAM ke atas Seri Paduka Baginda, Hamidin turut menyampaikan pemberian jersi baharu skuad Harimau Malaya kepada KDYMM Seri Paduka Baginda.
#FAM #bola sepak #Malaysia #Harimau Malaysia #Yang di-Pertuan Agong #Kementerian Belia dan Sukan #Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin #Asia #sukan #Belia #pandemik #COVID-19
;