Presiden FAM: Saya sedia bekerja dengan sesiapa jika dipilih - Annuar
Bernama
Februari 21, 2017 22:07 MYT
Februari 21, 2017 22:07 MYT
Calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa berkata beliau bersedia bekerja dengan sesiapa sahaja sekiranya dipilih menerajui badan induk itu.
Menurutnya, antara misi yang mahu dibawanya adalah mewujudkan keharmonian, semangat berpasukan dan menghormati semua exco yang dipilih.
"Saya tidak terikat dengan sesiapa dan boleh bekerja dengan sesiapa saja.
"Adalah buruk bagi FAM kalau kita mula berpuak-puak, bergaduh sesama anggota gabungan, bergaduh dengan kementerian dan sebagainya," katanya menerusi entri di laman sosial Facebooknya hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan calon Timbalan Presiden FAM Datuk Yusoff Mahadi membayangkan yang beliau hanya mampu bekerja dengan seorang lagi calon Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Annuar yang juga penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menegaskan beliau tidak menyertai mana-mana kumpulan dalam badan induk itu menjelang Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac depan.
"FAM perlu tenang dan kekalkan sifat saling hormat-menghormati. Saya tidak akan menekan sesiapa dan tidak berkumpulan. Tiada sogokan dan tiada ugutan.
"Saya percaya badan gabungan bijak membuat pilihan sendiri corak mana kita mahu FAM ditadbir..semuanya baik-baik belaka," katanya.
Pemilihan itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi merebut jawatan Presiden FAM membabitkan Tunku Ismail dan Annuar.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, penyandangnya, Datuk Seri Afandi Hamzah dicabar Yusoff dan Datuk Seri Subahan Kamal.
-- BERNAMA