Presiden Bola Sepak Sepanyol minta maaf cium bintang Piala Dunia Wanita

Astro Arena
Ogos 22, 2023 10:15 MYT
Rubiales (kanan) memeluk pemain Sepanyol Aitana Bonmati ketika di podium selepas pasukan itu menundukkan England dalam perlawanan akhir Piala Dunia Wanita. - Foto AP
PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Sepanyol yang dikritik kerana telatahnya dalam perlawanan akhir Piala Dunia, kelmarin, telah meminta maaf kerana mencium salah seorang pemain pasukan itu dengan berkata kelakuannya "seolah-olah ia telah menyebabkan kekecohan".
Luis Rubiales selaku ahli jawatankuasa eksekutif Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) merangkap naib presiden badan induk bola sepak Eropah itu mengeluarkan satu kenyataan video selepas dia dirakam mencium bibir Jenni Hermoso ketika upacara penyerahan pingat di Sydney, kelmarin, yang menyaksikan Sepanyol menewaskan England 1-0 dalam perlawanan akhir.
Rubiales juga dirakam mencium wira gol tunggal perlawanan, Olga Carmona, dan dia meraikan kemenangan Sepanyol di kawasan VIP stadium dengan menggengam kelangkangnya.
Tingkah laku Rubiales di Australia itu digambarkan sebagai "tidak boleh diterima" oleh menteri budaya lakonan dan sukan Sepanyol, Miquel Iceta.
Lantas, Rubiales diminta agar menjelaskan tindakannya dan memohon maaf.
Kenyataan Rubiales tertumpu kepada ciuman Hermoso dan tidak merujuk kelakuannya di dalam kotak VIP, di mana dia berdiri bersama Ratu Letizia dari Sepanyol dan anak perempuan remajanya, Sofia.
“Ada sesuatu yang saya kesalkan dan ia adalah apa yang berlaku di antara saya dan seorang pemain, sudah pasti saya melakukan kesilapan. Saya perlu mengakuinya,” kata Rubiales sebuah rakaman yang disiarkan.
“Pada saat terlalu kegembiraan, (saya berkelakukan seperti itu) tanpa sebarang niat buruk. Saya percaya ia berlaku dengan cara yang sangat spontan dan saya mahu ulangi tidak mempunyai niat buruk terhadap mana-mana pihak.
“Ia membawa tafsiran yang salah kerana kami adalah manusia biasa dan sekali lagi, tiada niat buruk di antara kami.
"Tetapi di luar, nampaknya ia telah mencetuskan kekecohan kerana saya seolah-olah telah melakukan kerosakan, jadi saya ingin memohon maaf dan saya tidak meminta yang lebih." - Stadium Astro
#Luis Rubiales #cium bibir #Jenni Hermoso #Piala Dunia Wanita
;