Presiden AFC puji pembangunan bola sepak Malaysia

Bernama
Oktober 26, 2022 04:20 MYT
AFC berkata, FAM telah melabur di dalam pembinaan keupayaan dan keputusannya adalah membanggakan.
KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memuji pembangunan sukan itu di Malaysia menerusi prestasi hebat skuad kebangsaan dan kelab seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Presidennya Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa berkata di bawah kepimpinan Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melabur di dalam pembinaan keupayaan dan keputusannya adalah membanggakan, jelas menunjukkan wawasan AFC membangunkan sukan itu dalam ahli persatuannya.
"Skuad Malaysia akan bertanding dalam Piala Asia AFC 2023 selepas jarak waktu yang lama dan ini satu berita menceriakan peminat bola sepak Malaysia yang juga boleh bergembira dengan kemaraan JDT sehingga Pusingan Ke-16 Liga Juara-Juara AFC 2022 dan sudah pasti KL City yang melangkah ke final Piala AFC 2022.
"FAM merupakan salah satu ahli persatuan terkemuka kami dan kami menghargai libat urus kedua-dua pihak yang rapat, menyaksikan FAM memanfaatkan banyak faedah disediakan AFC menerusi program dan pembiayaan pembangunan AFC," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan konfederasi itu pada Rabu.
Sementara itu, Hamidin mengucapkan terima kasih kepada Presiden AFC di atas sokongan diberikan sambil menggariskan pelan masa hadapan FAM untuk memajukan lagi sukan itu ke seluruh negara menerusi pelbagai projek.
Shaikh Salman melawat ibu pejabat FAM, Wisma FAM di Kelana Jaya pada Rabu dan bertemu Hamidin serta Jawatankuasa Eksekutif FAM.
-- BERNAMA
#afc #pembangunan bola sepak #JDT #Kuala Lumpur City FC
;