Presiden AFC mahu prestasi Harimau Malaya dipertingkat

Bernama
April 7, 2021 15:53 MYT
Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa (gambar) menekankan bahawa prestasi pasukan bola sepak kebangsaan perlu dipertingkat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa menekankan bahawa prestasi pasukan bola sepak kebangsaan perlu dipertingkat khususnya dari segi profesionalisme, dalam usaha meningkatkan lagi standard bola sepak Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pada perbincangan isu semasa yang turut membabitkan Setiausaha Agung AFC Windsor Paul John, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023 di Manama, Bahrain hari ini.
Menurut kenyataan FAM, Hamidin yang merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, turut menyentuh tentang keperluan dua hala FAM membabitkan tiga komponen utama, iaitu pembangunan bola sepak wanita, futsal dan bola sepak pantai yang perlu diberikan lebih penekanan dalam pembangunan hala tuju FAM.
"Hamidin juga gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Shaikh Salman dan AFC bagi membantu melonjakkan pembangunan bola sepak, bola sepak wanita, futsal dan bola sepak pantai di Malaysia dalam masa terdekat," demikian menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Persatuan Bola Sepak Malaysia #Malaysia #Harima Malaya #Presiden AFC #Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa
;