Pramusim: Perak FC benam Geylang di Ipoh

Bernama
Mac 24, 2024 09:19 MYT
Muhammad Harith Akif meraikan jaringan gol penalti ketika separuh masa pertama pada perlawanan Persahabatan Antarabangsa pramusim antara Perak FC dan Geylang International FC di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. --fotoBERNAMA
IPOH: Perak FC memberi laungan awal bakal bangkit menjadi antara pasukan yang digeruni musim ini selepas mudah menjinakkan Geylang International FC dari Singapura 3-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa pramusim di Stadium Perak, malam tadi.
Meskipun terlalu awal untuk menilai pasukan 'baharu' kendalian Yusri Che Lah itu, namun keputusan malam tadi nyata pasti menggembirakan 2,060 penyokong Perak yang hadir ke stadium.
Yusri pada sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi berkata walaupun pasukannya mencatat kemenangan, namun ia bukan penanda aras pasukan yang dibentuk berada pada tahap terbaik dan masih terdapat kelemahan serta ruang yang perlu diperbaiki.
“Objektif utama untuk menguji pemain beraksi di tahap yang lebih tinggi dan lebih mencabar khususnya pemain tempatan dan import baharu. Mungkin kita akan rombak lagi kerana masih berbaki tiga lagi perlawanan persahabatan pramusim. Apa yang saya ingin lihat kombinasi serta keserasian antara pemain baharu,” katanya.
Beliau pada masa sama turut memuji persembahan anak buahnya dalam persiapan pasukannya menghadapi saingan liga yang dijadualkan pada 10 hingga 12 Mei depan.
Skuad The Bos Gaurus yang berada di kedudukan 11 selepas tamat saingan Liga Super 2023 dengan mengutip 22 mata dilihat lebih 'bernafsu' musim ini apabila menjadi antara pasukan yang paling rancak membawa masuk ramai pemain baharu bagi mengisi kelompongan dalam pasukan.
Pasukan yang popular dengan jolokan Kejor Yeop Kejor itu setakat ini berjaya mengikat sembilan pemain baharu termasuk tiga pemain import dan dikhabarkan hanya menunggu seorang lagi pemain import untuk melengkapkan pasukan.
Dalam aksi perlawanan persahabatan malam tadi tuan rumah berjaya memecahkan benteng pelawat seawal minit ketujuh menerusi pemain tunggal skuad Piala Malaysia 2018, Firdaus Saiyadi disusuli gol kedua Perak FC oleh Muhammad Harith Akif pada minit ke-33 menerusi sepakan penalti.
Keputusan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama dan bersambung babak kedua, Perak terus menekan Geylang dan hasilnya pemain import mereka Adilet Kanyabekov merembat deras untuk jaringan ketiga pada minit ke-66 sebelum pengadil perlawanan Mohammad Faizal Talib meniupkan wisel penamat.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Geylang Mohd Noor Ali menyifatkan pasukan tuan rumah lebih berkualiti terutamanya dalam melancarkan serangan bertali arus ke kubu Geylang.
“Mereka mempamerkan perlawanan yang berintensiti tinggi atau tempo permainan pantas, sama sahaja sama ada masa pertama ataupun masa kedua perlawanan, ia bagus untuk kami dapat perlawanan seperti ini.
“Saya berpuas hati dengan persembahan anak buah saya malam ini walaupun kita tidak bermain dengan dua import kita namun secara keseluruhan kita akan perbaiki persembahan kita seterusnya,” katanya.
-- BERNAMA
#perlawanan persahabatan #pramusim #Perak FC #Geylang International FC
;