Powerlifting: Yee Khie terlepas pingat emas
Bernama
Jun 23, 2021 05:20 MYT
Jun 23, 2021 05:20 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet powerlifting negara Jong Yee Khie terlepas pingat emas dengan beza hanya satu kilogram (kg) pada kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam tadi.
Setelah gagal mengangkat bebanan 220 kg pada percubaan pertama kategori 107 kg ke atas, atlet berusia 31 tahun itu bangkit kembali untuk melakukan angkatan seberat 231 kg bagi meletakkannya pada kedudukan pingat emas.
Pada percubaan terakhir, pendandan rambut dari Batu Kawa, Kuching itu, berjaya melakar catatan peribadi dengan mengangkat bebanan 239 kg, bagaimanapun harapannya untuk meraih emas dileburkan oleh atlet Rusia, Konstantin Matsnev yang melakukan angkatan 240 kg.
Mutaz Al Juneidi dari Jordan mendapat pingat gangsa dengan angkatan seberat 217 kg, dalam acara yang distrimkan secara langsung secara dalam talian.
Bagaimanapun, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi media sosial, mengesahkan Yee Khie mendapat tempat pada Sukan Paralimpik Tokyo sebagai pemain nombor dua dunia menerusi pingat perak.
Pemegang pingat perak bagi kategori heavyweight pada temasya Sukan Komanwel 2018 itu, kehilangan kaki kanannya setelah terlibat dalam kemalangan perlumbaan motosikal di Kuching, Sarawak pada 2005.
Pada Selasa, seorang lagi atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin memecahkan rekod dunia dengan angkatan seberat 230 kg dalam kategori lelaki 72 kg ke atas, memadamkan rekod 229 kg yang dilakar Roohallah Rostami dari Iran pada Sukan Para Asia Jakarta 2018 di Indonesia.
-- BERNAMA
#Jong Yee Khie
#angkat berat para
#Bonnie Bunyau
#Konstantin Matsnev
#Piala Dunia
#Fazza Dubai
#powerlifting
#atlet
#pingat emas
#pendandan rambut
#catatan peribadi
#Sukan Paralimpik Tokyo
#pingat perak
#UAE
#atlet para