Poulsen 'tebus dosa' dengan menangkan Denmark
Israr Khalid
Jun 16, 2018 04:24 MYT
Jun 16, 2018 04:24 MYT
Denmark di ambang ketinggalan di separuh masa pertama apabila penyerangnya, Yussuf Yurary Poulsen menyebabkan Peru mendapat sepakan penalti.
Dia didakwa menjatuhkan pemain tengah Peru, Christian Cueva selepas pengadil, Bakary Gassama merujuk sistem pengadil bantuan video (VAR).
Namun sepakan Cueva hanya melangit sekali gus mengecewakan penyokong Los Incas yang mengharap pembuka cerita indah pada penyertaan Piala Dunia keempat mereka.
The Danish Dynamites kemudian bangkit memperkemas permainan pada babak kedua sebelum Poulsen menebus kesilapan yang hampir memusnahkan Denmark pada minit ke-59.
Dengan tenang, Poulsen yang menyambut pemain Tottenham Hotspur Christian Eriksen, melorong bola menewaskan Pedro Gallese.
Pemain Peru, Paolo Guerrero kembali beraksi atas padang selepas berjaya dalam rayuan menangguhkan penggantungan empat bulan atas kesalahan dadah, tidak banyak yang mampu dibuat untuk mengubah nasib pasukannya.
Satu percubaan berbahaya dilancar Jefferson Farfan ketika perlawanan berbaki enam minit, namun ditampan Kasper Schmeichel untuk memastikan tiga mata milik Denmark.
Kemenangan ini meletakkan Denmark di tempat kedua, dibelakang Perancis dalam Kumpulan C yang mempunyai kelebihan dari segi jaringan gol.
Biarpun kecewa Cueva terlepas peluang keemasan, anak buah Ricardo Gareca memberi harapan kepada rakyat Peru hasil persembahan yang meyakinkan dalam perlawanan pertama mereka di pentas Piala Dunia dalam tempoh 36 tahun.
Perancis menanti Peru pada 21 Jun, sementara Denmark dijangka menuju ke perlawanan kedua dengan moral yang tinggi menentang Australia di Arena Mordovia, pada hari sama.
#Awani FIFA
#Christian Cueva
#Denmark
#penalti
#Peru
#Piala Dunia
#Piala Dunia AWANI
#VAR
#Yussuf Poulsen