Polis tingkat kawalan aksi Liga Super antara Perak, JDT esok

Bernama
Ogos 16, 2024 15:40 MYT
Azizi berkata tumpuan bukan sahaja diberikan kepada pasukan tuan rumah, tetapi kawalan sama turut diberikan kepada pasukan lawan dan penyokong. - Gambar fail
LENGGONG: Seramai 500 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di Stadium Perak, Ipoh bagi memastikan perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim FC (JDT FC) malam esok berlangsung lancar.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata tumpuan bukan sahaja diberikan kepada pasukan tuan rumah, tetapi kawalan sama turut diberikan kepada pasukan lawan dan penyokong oleh pihak polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang akan mengatur anggota mereka dengan rapi.
"Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan mereka terjamin, sekali gus mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang perlawanan nanti," katanya pada sidang media selepas menghadiri program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Perak 'Katakan Tidak Pada Jenayah' di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad dekat sini hari ini.
Beliau berkata pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium, termasuk kawalan lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan, selain tindakan tegas bakal diambil sekiranya terdapat penonton yang melanggar arahan ditetapkan.
Pemeriksaan juga akan dilakukan di pintu masuk dan selepas memasuki stadium membabitkan pemeriksaan badan serta beg penonton untuk memastikan tiada barangan terlarang dibawa seperti mercun, bunga api, suar dan senjata, tambah beliau.
Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan dalam momentum kemenangan selepas menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0, 9 Ogos lepas berbanding skuad Kejor Yob Kejor yang tewas mengejut 1-2 kepada Kuching City FC di Stadium Perak, 30 Julai lepas.
Perak kini menghuni tangga kesembilan Liga Super dengan mencatatkan lima kekalahan dan dua kemenangan dalam tujuh perlawanan serta hanya mengutip enam mata, berbanding JDT dengan 22 mata dan menduduki tangga teratas setakat ini.
-- BERNAMA
#Liga Super #JDT #Perak FC #kawalan keselamatan